Sambut Aidilfitri Ahad

UMAT Islam di Arab Saudi turut menggenapkan puasa Ramadan selama 30 hari apabila negara itu akan menyambut 1 Syawal pada hari Ahad ini, 24 Mei 2020.

Menurut laporan media Al Arabiya jawatankuasa melihat anak bulan di Tumair mengumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan pada Jumaat lalu.

Malaysia, Singapura dan Indonesia turut menyambut Aidilfitri Ahad ini.

Di KUALA LUMPUR, perisytiharan Hari Raya Aidilfitri  diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Ahad, 24 Mei 2020,” katanya..        

Di SINGAPURA, pengumuman berdasarkan kaedah hisab dibuat oleh Mufti republik itu, Dr Naziruddin Mohd Nasir.

Naziruddin berkata dengan izin Allah,  umat Islam berjaya menjalani bulan Ramadan walaupun dalam suasana yang luar biasa lagi mencabar.

“Pada masa yang sama, kita juga beriltizam untuk sama-sama mengatasi penularan wabak (COVID-19) di Singapura. Teruskanlah usaha dan semangat ini, dan marilah kita menghayati maksud kejayaan di sebalik Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan.

Singapura mempunyai hampir satu juta penduduk beragama Islam iaitu kira-kira 15 peratus daripada jumlah populasinya.

Di JAKARTA,  Menteri Agama Indonesia Facrul Razi berkata tarikh 1 Syawal 1441H pada Ahad ini dicapai menerusi persidangan isbat (penentuan hari raya) yang berlangsung petang Jumaat..

Persidangan isbat menerusi persidangan video itu disertai antaranya tokoh-tokoh dan pemimpin organisasi Islam di Indonesia serta pakar falak dan astronomi.

Sambutan Aidilfitri adalah perayaan terbesar di Indonesia yang mempunyai lebih 280 juta penduduk dengan lebih 85 peratus beragama Islam.

Berikutan pandemik COVID-19, pemerintah Indonesia melaksanakan pembatasan sosial berskala besar sejak Mac lepas yang antaranya melarang pelaksanaan ibadat solat berjemaah di masjid termasuk menunaikan solat Aidilfitri, balik kampung, rumah terbuka dan aktiviti kunjung-mengunjung.

Sementara itu umat Islam di Thailand juga menyambut Aidilfitri pada Ahad kata Sheikhul Islam Thailand Aziz Phitakkumpon.

“Setelah disahkan yang anak bulan baharu tidak kelihatan lewat petang ini, maka hari pertama Syawal jatuh pada Ahad,” katanya dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan.

Majoriti umat Islam berada di selatan negara itu – Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.

Tahun ini, akibat wabak Covid-19, solat sunat Aidilfitri hanya dibenarkan di masjid di kawasan yang tiada jangkitan dan perlu mengikuti garis panduan kesihatan yang ketat bagi membendung wabak.

Thailand juga melarang jamuan di masjid serta berkumpul bersama keluarga dan menziarahi kubur. 

Related posts

Leave a Comment