Brunei kekal 141 kes

KES positif Covid-19 di INDONESIA meningkat kepada 21,745 kes dengan jumlah kematian seramai 1,351 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata bagi tempoh 24 jam lalu, tambahan sebanyak 949 kes positif baharu direkodkan dengan 25 kematian akibat virus itu.

Ketika ini seramai 11,495 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kematian tertinggi iaitu 501 kes, diikuti Jawa Timur (271 kes), Jawa Barat (127) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Tiga kes baharu direkodkan di THAILAND dan tiada kematian dalam 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes 3,040 dan  kematian kekal 56 orang. 

Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Panprapa berkata kes baharu itu – dua rakyat Thai dalam kuarantin, seorang penuntut lelaki berusia 24 tahun yang pulang dari Mesir dan seorang wanita berusia 43 tahun yang merupakan ahli terapi spa yang tiba dari India serta seorang lelaki Itali berusia 49 tahun yang tinggal di Phuket.  

Dalam tempoh 24 jam lepas, enam pesakit didiscaj daripada hospital menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan pulang ke rumah kepada 2,916 sementara 68 lagi masih dirawat.

Sementara itu, SINGAPURA mengesahkan tambahan 642 kes positif jangkitan Covid-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhannya 31,068 kes dengan jumlah pesakit yang pulih setakat Jumaat adalah 12,955.

Menurut Kementerian Kesihatan, data pukul 12 tengah hari menunjukkan hanya enam kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap, manakala selebihnya adalah pekerja asing.

Data penuh yang dikeluarkan pada Jumaat, menunjukkan Singapura menklasifikasikan 1,685 sebagai kes komuniti, 580 kes yang diimport, dan 28,161 melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Ketika ini, 798 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan lapan daripadanya dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi, sementara 23 telah meninggal dunia.

Jabatan Kesihatan Filipina mengesahkan 180 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes 13, 777. Kematian pula meningkat kepada 863 kes termasuk enam kematian baharu.

Pada masa yang sama, sebanyak 85 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih 3,177.

Sementara itu, BRUNEI DARUSSALAM terus kekal dengan  141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan. Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memberitahu setakat ini empat masih dirawat, dua dalam keadaan kritikal manakala 136 sembuh.

Related posts

Leave a Comment