Tiada kes baharu di Thailand

THAILAND tidak mencatatkan sebarang kes baharu jangkitan atau kematian dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covif-19 kekal pada 3,037 kes dengan 56 kematian.

Walapun demikian, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) bersetuju  perintah darurat di negara itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini berikutan keadaan pandemik Covid-19 dunia masih belum stabil.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen. Prayuth Chan o-cha hari ini yang turut membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh perintah berkurung berbanding 11 malam hingga 4 pagi sekarang.

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata pelanjutan perintah darurat itu juga bagi  membolehkan kerajaan menggubal langkah-langkah yang lebih berkesan untuk mengekang wabak selain bersedia untuk fasa pelonggaran seterusnya.  

Di INDONESIA, kes positif Covid-19 meningkat kepada 20,796 kes, dengan kematian berjumlah 1,326 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 634 tambahan kes positif baharu, dan 48 lagi kematian akibat virus itu.

Ketika ini seramai 11,028 pesakit masih dalam pemantauan.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 500 kes, diikuti Jawa Timur (256 kes), Jawa Barat (125) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu SINGAPURA mengumumkan tambahan 614 kes baharu jangkitan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 mencapai 30,426 kes.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata, data tengah hari menunjukkan hanya empat kes melibatkan rakyat Singapura atau penduduk tetap.

Sehingga Khamis, kementerian itu berkata sejumlah 12,117 pesakit telah sembuh.

Tiga kluster dikaitkan dengan Natureland East Coast; Wing Fong Court; dan 112, Neythal Road; telah ditutup semalam, menjadikan kini tiada lagi kes yang dikaitkan dengan tempat-tempat ini sejak 28 hari lepas.

Kementerian turut mengenal pasti satu kluster baharu di Orange Valley Nursing of Simei Street.

Jabatan Kesihatan FILIPINA pula mengesahkan 163 kes baharu dan 11 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes 13,597 dan 857 kematian.

Di samping itu, sebanyak 92 kes pulih menjadikan 3,092 kes sembuh.

Sementara itu, BRUNEI DARUSSALAM terus kekal dengan  141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan. Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memberitahu setakat ini empat masih dirawat, dua dalam keadaan kritikal manakala 136 sembuh.

Related posts

Leave a Comment