Kes di Indonesia meningkat

KES positif Covid-19 di INDONESIA terus meningkat kepada 18,496 kes dengan 30 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, kata jurucakap Pemerintah Indonesia mengenai Covid-19 Achmad Yurianto.

Jumlah kematian akibat virus itu kini meningkat kepada 1,221 orang, sejak kematian pertama berlaku pada 11 Mac.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, terdapat sebanyak 486 kes baharu manakala pesakit yang masih dalam pengawasan virus itu berjumlah 11,891 orang,” katanya dalam sidang media harian.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 470 kes diikuti Jawa Timur (222 kes), Jawa Barat (124), Jawa Tengah (70) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Di SINGAPURA, Kementerian Kesihatan mengesahkan tambahan 451 kes baharu menjadikan jumlah jangkitan di republik itu kini 28,794 kes.

Data setakat pukul 12 tengah hari, menunjukkan hanya satu kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian setakat ini mengklasifikasikan 1,310 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import, 363 kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 26,090 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Pada masa ini terdapat 1,036 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan 12 daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi.

MOH berkata 17,450 orang yang bergejala ringan atau baik dari segi klinikal tetapi masih diuji positif untuk Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Setakat ini, sebanyak 22 telah meninggal dunia.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan melaporkan 224 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 12,942 kes.

Kematian pula meningkat kepada 837 kes berikutan enam lagi kematian dilaporkan sehingga pukul 4 petang ini.

Sebanyak 114 kes pulih menjadikan 2,843 kes pulih sepenuhnya.

Sementara itu THAILAND melaporkan dua kes baharu dan tiada kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan kes jangkitan virus berkenaan kini berjumlah 3,033 dengan kematian kekal 56.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Covid-19 Thailand (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata dua kes itu melibatkan seorang wanita tempatan berumur 36 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun, kedua-dua merupakan anggota keluarga seorang pesakit yang disahkan positif di wilayah selatan Narathiwat.

Sehingga kini, 2,857 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala 120 masih sedang dirawat.

BRUNEI DARUSSALAM pula kekal dengan  141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memberitahu setakat ini empat masih dirawat, dua dalam keadaan kritikal manakala 136 sembuh.

Related posts

Leave a Comment