RIYADH : Jika di Malaysia, umat Islam masih berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang terhad, termasuk tidak boleh balik kampung, warga Arab Saudi lain pula sambutannya apabila mereka terpaksa berhari raya di rumah.
Beberapa media tempatan melaporkan, Kementerian Dalam Negeri pada Selasa mengumumkan akan menguatkuasakan sekatan dan perintah berkurung sepanjang hari itu di seluruh negara sempena cuti Aidilfitri mulai 23 hingga 27 Mei bersamaan 30 Ramadan hingga 4 Syawal..
Menurut Kementerian itu, langkah-langkah pencegahan dan larangan akan terus dilaksanakan sehingga berakhirnya Ramadan termasuk mengamalkan penjarakan sosial dan majlis keraian yang tidak melebihi lima orang.
Menjelang perintah berkurung itu, peraturan yang dikenakan sejak 25 April lalu diteruskan sehingga 23 Mei ini di mana aktiviti ekonomi terus berjalan dan penduduk boleh keluar mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali di Makkah.
Larangan keluar masuk kota Makkah juga dikekalkan.
Semalam Arab Saudi merekodkan 1,911 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 42,925 kes manakala jumlah kematian 264.