Indonesia, Filipina catat peningkatan kes

INDONESIA merekodkan 16 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 1,007 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 484 kes positif baharu dilaporkan menjadikan 14,749.

Sebanyak 31,147 pesakit masih lagi dalam pengawasan virus itu.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 443 kes, diikuti Jawa Timur (155 kes), Jawa Barat (98) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, THAILAND melaporkan dua kes baharu tanpa kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 3,017 dan 56 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kes baharu itu melibatkan remaja perempuan berusia 19 tahun dan wanita berusia 51 tahun dari Narathiwat. Kedua-dua rakyat Thailand itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang telah disahkan.

Setakat ini 50 dari 77 wilayah di Thailand tidak melaporkan sebarang kes Covid-19 sepanjang 28 hari yang lepas atau lebih.

Daripada 3,017 kes itu, Bangkok merekodkan bilangan tertinggi dengan 1,703 diikuti 726 di selatan, tengah (383), timur laut (111) dan 94 (utara).

DI FILIPINA, sehingga pukul 4 petang ini, Jabatan Kesihatan mengesahkan 264 kes baharu Covid-19 menjadikan 11,350 kes.

Sebanyak 25 kematian dilaporkan menjadikan 751 kes. Jumlah kes sembuh pula meningkat kepada 2,106 apabila 107 kes lagi pulih.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM pula melaporkan tiada kes baharu dan jumlah kekal 141 kes di mana enam sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan dua daripadanya keitikal.

Kes sembuh juga kekal 134 orang.

Related posts

Leave a Comment