37 kes baharu, 2 kematian

MALAYSIA mencatatkan 37 kes baharu Covid-19 dan dua kematian sehingga tengah hari Rabu. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes 6,779 dan kematian 111 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 58 kes positif pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 5,281 kes .

Beliau berkats, kes kematian ke-110 (kes ke-6743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.

“Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020. Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih di dalam siasatan,” katanya.

Kes kematian ke-111 (kes ke-5195) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan.

Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 Mei 2020 pukul 10.36 pagi.

Sementara itu, daripada 37 kes baharu, 21 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia. Terdapat empat kes import dan 33 kes penularan tempatan.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,387 kes dan sehingga kini, seramai 16 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment