16 kes, catatan terendah

PUTRAJAYA : Kes terendah dengan rekod 16 kes baharu Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu. Itu catatan yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini adalah 6,742 kes, menjadikan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 1,410 kes.

Daripada jumlah kes positif baharu itu, sembilan kes adalah dalam kalangan bukan warga Malaysia dan tiga kes import dengan 13 kes penularan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan dan jumlah keseluruhan kematian adalah 109.

Sementara itu,  110 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj  menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,223 kes, iaitu 77.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Sehingga kini, 16 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 11,470 sampel ujian saringan Covid-19 telah diambil terhadap anggota KKM dan daripada jumlah itu 65 dikesan positif, setakat hari ini.

Mengulas mengenai ujian saringan Covid-19 ke atas semua pesakit sebelum menjalani pembedahan kecemasan dan separa kecemasan, beliau berkata tujuh kes dikesan positif daripada 8,528 pesakit yang disaring setakat hari ini.

Setakat minggu ke-18 wabak itu, sebanyak 9,010 sampel diambil daripada pesakit kes Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dengan 81 sampel disahkan positif dijangkiti virus itu.

“Kes ILI mencatat 14 kes positif daripada 1,594 sampel manakala bagi kes SARI pula sebanyak 67 kes positif daripada 7,416 sampel,”katanya.

Bagi kes yang dikesan sebagai individu yang sedang disiasat (PUI), beliau berkata terdapat 95 kes positif dikesan daripada 30,155 ujian yang dijalankan di makmal swasta.

Walaupun kadar positif yang dikesan melalui aktiviti survelan menurun dan kekal rendah , beliau menyeru supaya masyarakat tidak leka dengan trend penurunan itu.

Dr Noor Hisham turut menzahirkan penghargaan kepada semua jururawat di Malaysia bersempena Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada hari ini.

“Anda adalah wira yang tidak didendang, dan KKM sentiasa menghargai jasa dan bakti anda semua,” katanya.

Sambutan tahun ini bertemakan, A Voice to Lead: Nursing The World To Health.

Related posts

Leave a Comment