SINGAPURA mengesahkan secara awal pertambahan 768 kes jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 21,707 kes.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata 10 kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala kebanyakan kes melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.
Kementerian itu berkata 17,831 kes melibatkan gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif Covid-19, diasingkan dan berada di fasiliti komuniti.
Seramai 20 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi berikutan Covid-19 di sini, setakat ini.
Sementara itu di THAILAND, lapan lagi kes jangkitan termasuk lima pendatang asing yang telah ditahan di pusat tahanan imigresen, menjadikan jumlah keseluruhan 3,000 kes dan 55 kematian.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, lima pendatang asing antara 19 dan 30 tahun itu ditahan di Pusat Penahanan Imigresen Sadao di selatan Wilayah Songkla. Sehingga kini seramai 65 tahanan termasuk dua rakyat Malaysia telah dijangkiti Covid-19 sejak dua minggu lepas.
Daripada lapan kes baharu, tiga berusia antara 45 dan 51, merupakan daripada selatan Wilayah Yala dengan ketiga-tiga mereka merupakan kontak rapat dengan satu lagi kes yang pulang dari Malaysia.
Sembilan daripada 77 wilayah di Thailand, kekal bebas daripda Covid-19 manakala 43 wilayah menyaksikan tiada kes baharu sejak 28 hari lepas.
Kumpulan usia antara 20 dan 29 tahun merupakan paling ramai dijangkiti dengan sejumlah 766 orang telah dijangkiti.
INDONESIA pula melaporkan 13 kematian lagi dalam tempoh 24 jam menjadikan angka korban di negara itu meningkat kepada 943 kes.
Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata jumlah kes positif pula meningkat kepada 13,112 kes, iaitu tambahan 336 kes baharu.
“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 113 pesakit sembuh, menjadikan jumlah yang sembuh sehingga kini berjumlah 2,494 orang,” katanya.
Sebanyak 29,087 pesakit masih berada dalam pengawasan virus itu.
Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 424 kes diikuti Jawa Timur (138 kes), Jawa Barat (92) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.
Sehingga pukul 4 petang ini, Jabatan Kesihatan FILIPINA merekodkan 120 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 10,463 kes.
Pada masa yang sama, 11 kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 696.
Sebanyak 116 kes pulih menjadikan jumlah sembuh setakat ini 1,734 kes..
Sementara itu BRUNEI DARUSSALAM kekal dengan 141 kes apabila tiada kes baharu dilaporkan. Jumlah kes sembuh pula 132.