RANTAU PANJANG 4 Mei – “Tunggulah, saya akan umumkan nanti… masih ada masa,” kata Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail, berhubung pendiriannya sama ada bertanding atau tidak jawatan No.2 PKR.
Menteri Dalam Negeri itu akan mengumumkan pada saat akhir berikutan masih mempunyai masa selepas tempoh pencalonan untuk Pemilihan PKR 2025 dianjakkan ke minggu depan.
Saifuddin Nasution juga memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, selain berjumpa Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
“Saya masih ada masa untuk istikharah. Sebelum ini, saya sudah mengadakan perbincangan selama empat jam dengan Datuk Seri Rafizi Ramli, selain berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa kali,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan perbincangan dengan pihak parti peringkat negeri serta cabang.
“Saya orang lama dan merasakan lebih banyak kalah daripada menang. Sebelum satu keputusan besar dibuat, saya bukan memikirkan soal menang atau kalah dalam parti, sebaliknya mahu melihat proses pemilihan berakhir dengan parti terus kuat dan mantap serta mampu menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
“Perkara ini yang lebih menjadi keutamaan kepada saya. Sekarang, kita ada 31 kerusi dan mahu menambah lagi bilangan kerusi untuk memantapkan PH,” katanya. pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang serta pangkalan haram, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan pencalonan untuk Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Wanita Pusat ditangguhkan kepada 8 hingga 9 Mei ini.
Menurut notis pemakluman penangguhan pemilihan yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pencalonan akan bermula pukul 12 tengah hari 8 Mei hingga 11.59 malam 9 Mei ini.
Nn