Terkenang bubur lambuk BKUM

HARI ini Khamis, 14 Ramadan. Menyelak kembali kisah Ramadan D’UTUSAN, biasanya setiap Khamis sepanjang bulan Ramadan akan diadakan gotong-royong menyediakan bubur lambuk. Program anjuran Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) ini diterajui Kamsari Haji Nor atau lebih mesra dengan panggilan Wak Kam.

Menjelang Ramadan khemah khas dipasang berdekatan Surau Al-Huda Utusan Melayu bagi memudahkan kerja-kerja memasak. Program ini sudah bermula sejak Utusan Melayu berada di bangunan lama di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin.

Kos penyediaan bubur lambuk ini ditanggung oleh BKUM dan Surau Al-Huda yang turut membuat kutipan dalam kalangan kakitangan. Setiap kali menjelang Ramadan, surau akan mengeluarkan borang untuk kakitangan menyumbang sama ada bagi tujuan moreh, tahlil, bubur lambuk dan aktiviti surau.

Alhamdulillah, sumbangan tidak mengecewakan, dapatlah menampung pelbagai aktiviti surau sepanjang Ramadan.

Tidak pasti berapa periuk disediakan setiap minggu tetapi sekurang-kurangnya tiga empat periuk.

Biasanya pagi-pagi lagi kakitangan yang ingin menyumbang tenaga terutama dalam kalangan ahli jawatankuasa BKUM akan ‘turun padang’ menyediakan pelbagai ramuan atau perencah untuk bubur lambuk ini. Mereka akan ‘bekerja’ sehingga bubur masak dan melakukan kerja-kerja pembungkusan.

Wak Kamsari akan bertindak sebagai chef dan turut dibantu oleh Kak Ani, pengendali kantin. Tukang kupas bawang, potong bawang, basuh beras, tukang kacau, tukang bungkus, tukang basuh dan macam-macam lagi menunjukkan kerjasama yang baik. Last sekali Kamal yang akan ‘bersihkan’ kawasan.

Kata Wak Kamsari, hasil pendekatan kerja smart dan sedikit penelitian, sasaran untuk menyiapkan bubur pada waktunya tercapai. Biasanya air sudah dijerang pukul 8 pagi dan bubur siap diagih-agihkan pada pukul 11 pagi.

Di sini, jelas wujud semangat kerjasama dan kekeluargaan dalam kalangan kakitangan. Program ini bukan sekadar menyediakan juadah untuk berbuka tetapi ke arah mengukuhkan hubungan silaturahim kakitangan.

Biasanya, bubur lambuk Utusan ini akan diagihkan kepada kakitangan di ibu pejabat  Utusan serta di Kompleks Sri Utusan Bangi. Setiap orang akan dapat sekurang-kurangnya satu atau dua bungkus.

Di samping menyediakan untuk kakitangan, team BKUM ini turut mendapat kepercayaan pihak luar untuk menyediakan bubur lambuk untuk mereka sedekahkan kepada orang luar.

Beberapa kali Puteri UMNO Wilayah Persekutuan dan Puteri UMNO Pandan menaja program bubur lambuk ini pada bulan Ramadan. Selain untuk kakitangan Utusan, bubur ini akan diedarkan oleh anggota Puteri di lokasi pilihan  mereka.

Begitulah sedikit kenangan bulan Ramadan yang melibatkan keluarga besar Utusan. Walaupun semua itu tinggal kenangan atau sejarah,  dan lebih parah Utusan sudah pun ‘mati’, semangat kerjasama sebagai sebuah keluarga besar Utusan perlu dikekalkan ketika masing-masing membawa haluan sendiri di luar sana.

SELAMAT BERPUASA DAN BERBUKA

Related posts

Leave a Comment