KUALA LUMPUR 30 Okt . — Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu kembali kepada dasar asal menyediakan pendidikan percuma sepenuhnya kepada semua Bumiputera, di bawah Hak Keistimewaan Melayu, Fasal 153 Perlembagaan Negara.
Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali berkata, ini berikutan sudah banyak hak Melayu terhakis dan ‘ternoda’ atas nama berbilang kaum, sedangkan Malaysia asalnya Persekutuan Tanah Melayu.
“Ini bukan tuntutan populis, tetapi pelaksanaan hak perlembagaan. Jika Fasal 153 menjamin keistimewaan pendidikan, maka pelaksanaan pendidikan percuma di UiTM adalah roh sebenar kepada janji itu. Ini adalah hak bangsa Melayu,” katanya.
Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun telah membuktikan bahawa pendidikan tinggi percuma bukan beban, sebaliknya pelaburan sosial strategik.
“Malaysia mampu melaksanakannya jika keberanian politik digerakkan dengan visi bangsa, bukan kalkulator pilihan raya,” kata Ibrahim yang juga mantan Presiden Kesatuan Siswa Institut Teknologi MARA (KSITM) 1972-1974.
Pada masa sama, Putra juga menggesa kerajaan menjadikan UiTM simbol nasional keadilan sosial berteraskan Perlembagaan, bukan sekadar universiti awam serta mengiktiraf UiTM sebagai mercu peradaban bangsa, benteng ilmu anak pribumi dan warisan perjuangan yang tidak boleh dipadam oleh masa.
“Selagi UiTM bernafas, selagi itu Perlembagaan hidup. UiTM bukan sekadar lambang akademik, ia tiang seri negara bangsa. Barang siapa mengusiknya, dia sedang mengusik akar keadilan yang menegakkan Malaysia,” tegas Ibrahim.
Beliau juga mengingatkan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan bukan anugerah politik, tetapi struktur moral negara yang menjamin keseimbangan sosial dan keadilan sejarah yang meletakkan tanggungjawab di bawah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam pendidikan, biasiswa dan perkhidmatan awam.
Katanya, peruntukan itu bukan simbol keistimewaan, tetapi instrumen “redistributive justice”, keadilan yang memulihkan, bukan menindas.
“Selama berabad penjajahan, peluang dan kemajuan disusun secara berat sebelah. Maka Fasal 153 hadir bukan untuk mencipta jurang, tetapi untuk menutup luka sejarah dan membina semula keseimbangan negara bangsa.
UiTM ialah manifestasi paling nyata kepada roh Fasal 153 itu, dibina atas dasar perlembagaan, bukan belas kasihan politik, tetapi kewajipan kenegaraan. Mempertahankan UiTM bererti mempertahankan jati diri Malaysia,” katanya.
Beliau berkata sejak penubuhannya, UiTM melahirkan lebih 900,000 graduan Bumiputera sebagai jurutera, doktor, akauntan, arkitek, pegawai, usahawan dan pemimpin yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
“UiTM bukan beban fiskal, tetapi kilang peradaban, tempat bangsa Melayu ditempa menjadi pemangkin kemajuan negara. Pendidikan percuma untuk Bumiputera bukan diskriminasi, tetapi strategi keadilan nasional bagi memastikan tiada bangsa yang kembali dipinggirkan di tanah airnya sendiri,” katanya.
Ibrahim berkata, isu pendidikan UiTM tidak boleh dilihat sempit hanya untuk kelompok B40 semata-mata sebaliknya adalah hak Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sekadar membiayai B40 bukan menunaikan amanah Fasal 153, yang wajib ialah menegakkan hak pendidikan bangsa secara menyeluruh. Janji pendidikan percuma masih belum dilunaskan kerajaan namun dalam konteks UiTM, hal ini bukan lagi janji politik, ia tanggungjawab perlembagaan.
Kerajaan boleh berkompromi dalam hal ekonomi, tetapi tidak boleh berunding dalam hal amanah bangsa. Jika hak kaum lain dalam sektor ekonomi dan budaya dihormati, maka hak pendidikan Bumiputera yang termaktub dalam Fasal 153 mesti dijunjung dengan keberanian moral dan integriti nasional,” tegas Ibrahim.
