PKPB: Mula belajar norma baharu kehidupan

HARI ini 4 Mei, 11 Ramadan, belum ‘1 Syawal’. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukannya Perintah Kawalan Penduduk Beraya atau Perintah Kawalan Pergerakan Bebas. Kelonggaran yang diberi bukan memberi kebebasan mutlak untuk bebas bergerak ke sana ke sini terutama bagi mereka yang berkenaan.

Mulai hari ini juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 5 mengambil tempat setelah PKP4 terbatal berikutan pelaksanaan PKPB. Semua peraturan PKP4 terbatal.

Pelaksanaan PKPB ini bermula hari ini dilihat banyak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat lebih-lebih lagi apabila kes baharu kembali mencatatkan tiga digit. Di Thailand, kelonggaran bermula semalam tetapi setelah beberapa hari mencatatkan satu digit kes baharu.

Sejak kebelakangan ini keputusan yang dilihat sebagai kelonggaran dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menimbulkan keresahan.  Beberapa ‘gelombang’ pergerakan amat merisaukan. Contohnya pergerakan pelajar pulang dan mereka yang ‘terkandas’ di kampung dan di mana sahaja.

Begitu juga kelonggaran apabila tiada lagi ‘ketua keluarga’ yang sebelum ini diberi ‘lesen’ untuk keluar rumah membeli barang keperluan dan sebagainya. Selepas dilonggarkan dengan menambah seorang lagi boleh keluar, jumlah itu dinaikkan kepada empat orang satu keluarga.

Benar satu keluarga tidak perlu penjarakan sosial tetapi ke mana mereka pergi? Adakah mereka tidak berisiko apabila keluar rumah? Jarak perjalanan juga diberi kelonggaran. Begitu juga apabila restoran dibenarkan menerima pelanggan untuk makan dan minum di situ, bukan lagi sekadar untuk membawa pulang.

Ada juga sekatan jalan raya yang dilonggarkan termasuk melibatkan sempadan negeri hanya kerana pelaksanaan PKPB.

Situasi inilah yang menimbulkan persepsi salah dalam kalangan orang ramai yang menganggap mereka sudah bebas sedangkan hakikatnya PKP masih wujud. Tetapi apabila empat orang boleh berada dalam sebuah kereta untuk keluar, ia memberi maksud kebebasan. Ingatlah, sebuah rumah ada dua tiga kereta.

Kenapa perlu sehingga empat orang? Sejauh mana tahap disiplin rakyat Malaysia?Adakah mereka mampu memberi pertimbangan untuk membuat keputusan tidak keluar rumah tanpa urusan penting, seperti penguatkuasaan di peringkat awal Fasa 1 dan 2? Lebih merisaukan, ada yang menganggap PKP Fasa 4 yang berakhir pada 12 Mei ini sudah tidak bermakna.

Apa pun keputusan sudah dibuat. Sebagai kerajaan, keputusan itu sudah tentu tidak dibuat sesuka hati. Kerajaan lebih tahu apa yang dibuat. Kita hanya mengharapkan lebih ramai keluarga mengamalkan keluar rumah hanya untuk ‘ketua keluarga’. Biar yang keluar seorang itu lebih ramai berbanding empat orang.

Dalam hal ini (sedikit selingan) teringat dialog dalam filem Nujum Pak Belalang.

Dialog itu : “Satu – banyak banyak ; Dua – sikit sikit ; Tiga – jarang jarang ; Empat kadang kadang.”

Eloklah yang keluar itu dalam kumpulan Satu bukannya kumpulan Empat walaupun kadang kadang. Jangan sesekali kumpulan Empat bertukar menjadi banyak banyak.

Mulai hari ini, setiap daripada kita perlu mengamalkan tahap disiplin yang tinggi. Itu yang penting. Belajar mengamalkan norma baharu dalam kehidupan. Jangan hancurkan disiplin rakyat yang hampir 50 hari berkurung di rumah.

Perjalanan kita memerangi wabak Covid-19 ini masih jauh, apatah lagi belum ada vaksin yang mampu menghadapi virus yang tidak mampu dilihat ini.

Justeru peringatan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah perlu diberi perhatian. Ingatannya bahawa PKP masih berkuat kuasa tetapi dengan menggunakan pendekatan kepatuhan sosial dan disiplin terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Pendekatan SOP dalam PKPB ini adalah sama seperti yang diamalkan di Korea Selatan, Taiwan dan Sweden yang mampu mengawal Covid-19 tanpa melaksanakan PKP, sebaliknya menggunakan kepatuhan sosial dan disiplin yang tinggi.

Hakikatnya, kelonggaran yang diberi perlu dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar perlu bekerja di sektor yang dibenarkan. Bagi yang tidak bekerja jangan menghilangkan rasa bosan duduk di rumah untuk melepak di restoran atau membeli belah di pasar raya.

Jika tidak mampu mematuhi SOP, kekallah duduk di rumah, keluar jika ada urusan penting. Sementara kita menunggu apa akan berlaku selepas 12 Mei ini, sama ada kita ‘menang atau kalah’, kita kena jaga kita. Kesihatan kita tanggungjawab kita.

Related posts

Leave a Comment