HARI ini sudah masuk fasa kelima. Bukan lagi Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 4 (PKP4). Justeru, peraturan-peraturan di bawah PKP4 sebelum ini terbatal dengan bermulanya PKP Bersyarat (PKPB) yang juga sebagai PKP fasa lima (PKP5).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak perlu mematuhi peraturan di bawah PKP5.
“Jika ada pihak tertentu yang masih mahu mengikut peraturan PKP4, ia adalah salah, kerana ia telah pun diganti dengan peraturan baharu PKP5.
“Sekarang semua negeri tertakluk pada PKP5, saya harap mereka (di peringkat negeri) sedar perkara ini, perlu patuh kepada PKP5 ini,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Putrajaya..
Pelaksanaan PKPB atau PKP5 yang bermula hari ini menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.
PKPB juga membolehkan empat individu serumah dan sekeluarga dalam satu kenderaan untuk keluar bagi tujuan keperluan penting berbanding hanya dua orang dalam PKP4.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tetap terpakai dalam PKP5 dan hukuman kepada yang ingkar akan tetap dikenakan seperti PKP sebelumnya.
“Akta tetap sama. Hukuman kepada yang ingkar ialah kompaun tak lebih RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali dan perniagaan yang tidak mengikuti SOP yang ditetapkan, premis mereka boleh ditutup,” katanya.
Ismail Sabri berkata orang ramai yang nampak dengan jelas pengingkaran pematuhan prosedur operasi standard di bawah PKPB boleh membuat laporan di balai polis berdekatan dan pejabat pihak berkuasa tempatan seperti majlis daerah, majlis perbandaran dan lain-lain.