Singapura buka berperingkat aktiviti ekonomi 12 Mei

SINGAPURA akan turut melonggarkan beberapa peraturan pemutus rantaian jangkitan wabak Covid-19 secara berperingkat dengan membenarkan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan terpilih beroperasi semula mulai 12 Mei ini.

Menurut pasukan petugas pelbagai kementerian mengenai Covid-19, langkah

itu berikutan penurunan ketara jangkitan dalam komuniti sejak sebulan lalu.

Pengerusi bersama pasukan itu, Gan Kim Tong berkata, purata jumlah kes baharu harian dalam komuniti menurun lebih separuh iaitu 25 pada minggu sebelumnya kepada 12 kes, minggu lalu.

Gan, yang juga Menteri Kesihatan, bagaimanapun, berkata masih terdapat kes yang tiada kaitan dengan komuniti dan kluster baharu jangkitan akan tercetus jika pihaknya lekal.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong, berkata rancangan untuk membuka semula premis pekerjaan dengan mengambil kira kepentingan ekonomi dan rantaian bekalan, peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan dan kemampuan mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja.

Katanya, pasukan petugas itu sedang melakukan persediaan untuk pembukaan semula aktiviti ekonomi dan komuniti secara berperingkat selepas berakhir tempoh pemutus rantaian jangkitan pada 1 Jun ini.

Misalnya, pengamal perubatan tradisional Cina dibenarkan untuk menyambung semula khidmat akupunktur mulai Selasa ini manakala penduduk di bangunan kediaman berstrata dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di tempat umum dalam kawasan bangunan dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Perniagaan makanan secara kecil-kecilan dari rumah, cawangan kedai makanan, perkhidmatan dobi, kedai gunting dan pendandan rambut dibenarkan beroperasi mulai 12 Mei ini.

Sementara itu,  Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam catatan di Facebook semalam mengingatkan masyarakat untuk terus mengambil langkah berhati-hati dan mematuhi peraturan  yang ditetapkan walaupun beberapa langkah sekatan ditamatkan  pada 12 Mei ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana mematuhi langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan dalam masa dua minggu lalu, beliau mengingatkan situasi belum selamat sepenuhnya.

.”Kita masih perlu menurut langkah-langkah ketat untuk tempoh seminggu lagi, selepas itu, kita boleh mengurangkan langkah sekatan secara perlahan-lahan dan cermat, dengan langkah pengurusan keselamatan dilaksanakan,” katanya. 

Beliau memberitahu, beberapa operasi yang boleh disambung semula termasuklah pengeluaran dan persiapan semua makanan di tempat jualan, termasuk kek dan roti, aiskrim, koko, coklat dan produk coklat, dan makanan ringan lain.

“Usaha memeranginya belum berakhir. Pakar dari seluruh dunia telah mengingatkan agar tidak menjalani kehidupan seperti biasa secara mendadak.  Malah, Covid-19 akan memaksa kita akan terus menjalani kehidupan biasa yang baharu. Mari kita teruskan usaha dan memastikan Singapura selamat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment