PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi kenyataannya bahawa Covid-19 adalah virus semula jadi, bukannya berasal daripada sebuah makmal di China.
Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr. Michael Ryan, menegaskan WHO telah berkali-kali mendengar penerangan maklumat daripada saintis yang mengkaji virus berkenaan.
“Kami pasti virus itu adalah semula jadi,” katanya menjawab soalan dalam sidang media maya di Geneva.
Semalam WHO memaklumkan dijemput untuk mengambil bahagian dalam siasatan China terhadap punca haiwan mencetuskan pandemik itu yang sudah meragut lebih 230,000 nyawa di seluruh dunia.
Ryan berkata, adalah penting untuk mengenal pasti ‘perumah’ semula jadi virus itu, sekali gus memahami bagaimana ia boleh berpindah kepada manusia.
“Tujuan memahami perkara ini supaya kita dapat melaksanakan langkah pencegahan dan kesihatan awam yang diperlukan bagi mengelakkan ia daripada berlaku lagi di mana-mana,” katanya.
Sementara itu Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menolak kritikan terhadap WHO, yang dikatakan memandang remeh wabak itu pada peringkat awal dan didakwa lebih menghormati China.
Tedros menjelaskan, WHO telah mengeluarkan tahap amaran tertinggi dengan mengisytiharkan wabak itu sebagai ‘kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa’ pada 30 Januari lalu ketika masih belum ada kematian dan hanya 82 kes jangkitan dilaporkan di luar China.
“Kami tidak membuang masa langsung. Dunia mempunyai masa mencukupi untuk campur tangan,” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas jawatankuasa kecemasan WHO mengadakan pertemuan untuk kali pertama sejak membuat perisytiharan, tiga bulan lalu.