Lepak di restoran Pak Salleh?

APABILA Pak Salleh dibenarkan memulakan perniagaan restorannya dengan membenarkan pelanggan makan minum di situ, timbul pelbagai persoalan mengenai sejauh mana usaha kita untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Adakah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mampu mengekalkan orang ramai terus duduk di rumah sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) fasa 4 berakhir pada 12 Mei ini?

Jika selama ini restoran dibuka tetapi hanya untuk dibawa pulang tetapi mulai Isnin, 4 Mei pelanggan boleh makan minum di situ. Ini yang menimbulkan kebimbangan apabila ramai yang mungkin menggunakan kelonggaran ini untuk lepak di restoran.

Dan adakah apabila ramai yang datang serentak ke restoran akan terjadi satu perhimpunan mini walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) mengenai jarak kedudukan satu meter antara pelanggan?

Turut menimbulkan persoalan, adakah PKPB ini akan dianggap satu kelonggaran atau kebebasan bergerak menyebabkan penduduk sekitar sesuatu kawasan tertumpu di kawasan perniagaan yang dibuka mulai Isnin ini.

Mungkin pada bulan Ramadan ini, Pak Salleh tidak akan menerima pelanggan muslim kerana masih berpuasa. Andai PKP fasa 4 berakhir, 12 Mei, masih dalam bulan Ramadan. Tidak timbul masalah di restoran Pak Salleh tetapi kaum lain?

Apa yang diharapkan pemilik restoran benar-benar mematuhi SOP sementara pelanggan pula pandai menjaga diri untuk bukan sahaja menjaga diri sendiri tetapi juga orang lain. Disiplin kedua-dua belah pihak amat penting.

PKPB bukan untuk diraikan tetapi akan menguji sejuah mana tahap disiplin masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu. Kita tidak mahu kelonggaran ini akan merosakkan pengorbanan kita duduk di rumah selama hampir 50:hari.

Adalah lebih baik pelanggan mengambil langkah untuk melindungi diri mereka dengan tidak makan minum di restoran sekiranya situasi tidak mengizinkan atau meragukan.

Pemilik restoran pula mempunyai peranan penting untuk memenuhi SOP yang ditetapkan. Banyak kerja yang perlu dilakukan untuk membolehkan perniagaan benar-benar mengikut SOP.

Antara SOP termasuk menyusun semula meja dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu meja dengan meja yang lain, dan penjarakan sosial antara pelanggan. Satu meja seorang atau dua mengikut saiz meja.

Menyediakan garisan di lantai depan kaunter bayaran, sekurang-kurangnya pelanggan berada dalam jarak satu meter antara satu sama lain ketika beratur membuat bayaran.

Restoran juga perlu menyediakan hand sanitizer di kaunter bayaran supaya pelanggan boleh bersihkan tangan selepas membuat bayaran.

Di samping itu seboleh-bolehnya periksa suhu badan pelanggan sebelum dia dibenarkan masuk ke restoran dan yang penting juga adalah mencatat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka datang ke restoran.

Adakah Pak Salleh serta pemilik restoran lain bersedia mematuhi SOP berkenaan?

Penguatkuasaan pula sudah bersedia?

 

Related posts

Leave a Comment