Singapura catat 690 kes baharu

KEMENTERIAN Kesihatan Singapura (MOH) merekodkan 690 kes baharu jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 15,641 kes.

Kes baharu itu termasuk enam melibatkan kes dalam komuniti manakala jumlah terbesar dari penghuni asrama pekerja.

Setakat ini, 1,128 pesakit telah pulih sepenuhnya manakala 21 dalam keadaan kritikal dengan menerima rawatan di unit rawatan rapi dan 14 meninggal dunia.

Semalam, 28 April MOH menyatakan jumlah kes baharu dalam komuniti telah berkurangan daripada purata 28 kes sehari pada minggu sebelum kepada purata 17 kes sehari pada minggu lepas.

MOH memaklumkan bahawa daripada 528 kes baharu semalam, 83 peratus dikaitkan dengan kluster yang diketahui manakala yang lain masih menunggu hasil pengesanan kontak.

Dari jumlah pada Selasa iaitu 14,951 kes, Singapura mengklasifikasi 1,181 sebagai kes komuniti, 571 kes import dan 505 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak menghuni asrama.

Sementara itu, penghuni asrama membentuk kira-kira 85 peratus atau 12,694 kes.

Menurut kenyataan itu, kebanyakan kes di asrama mempunyai simptom sakit ringan dan tidak seorang pun diletakkan dalam unit rawatan rapi.

Singapura mengenalpasti empat lagi kluster baharu pada Selasa, iaitu 33, Sungei Kadut Loop; 23H, Sungei Kadut Street; 10, Tagore Drive; dan 51H, Tuas South Ave 1. 

Kluster terbesar di republik ini ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakad ini mencatatkan 2,302 kes yang disahkan.

Related posts

Leave a Comment