Darurat Thailand hingga 31 Mei

PERDANA Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha bersetuju untuk

melanjutkan tempoh perintah darurat sehingga akhir bulan Mei dan akan mempertimbangkan untuk mengurangkan beberapa sekatan.

Jurucakapn Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata keputusan dibuat pada mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam.

Thailand sebelum ini mengisytiharkan darurat dari 26 Mac hingga 30 April dalam usaha mengekang pandemik Covid-19 di negara itu.

Beliau berkata CCSA turut mengesyorkan agar perintah berkurung dari pukul 10 malam hingga 4.00 pagi yang dikenakan di seluruh negara dilanjutkan hingga 31 Mei.

Begitu juga melanjutkan sekatan perjalanan bagi semua pelancong dari luar negara dan antara wilayah, menyekat perhimpunan besar-besaran dan memperluas dasar bekerja dari rumah.

Katanya Thailand akan menangguhkan sambutan Hari Pekerja (1 Mei), Hari Pertabalan (4 Mei), Perayaan Visakha atau Hari Wesak (6 Mei) serta upacara “Royal Ploughing Ceremony” (11 Mei).

“Penangguhan akan dibentangkan kepada Kabinet, dan tertakluk kepada kelulusan Kabinet,” katanya.

Thaweesilp berkata perintah darurat telah menunjukkan kesan yang baik dalam mengehadkan jumlah kes harian baharu dan melambatkan penyebaran Covid-19.

Katanya, pertemuan dengan CCSA turut membincangkan kelonggaran ke atas beberapa sekatan perniagaan dan aktiviti awam, namun beliau tidak menyatakan perincian mengenai perubahan, kaedah atau bila ia akan berlaku.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) meneruskan larangan kemasukan penumpang dari luar negara kepada 31 Mei.

Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop dalam satu kenyataan berkata, pengecualian diberi ke atas pesawat negara atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa penumpang turun, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan kargo.

Menurut beliau, penumpang yang tiba dengan penerbangan dikecualikan, perlu mengambil langkah di bawah peraturan kawalan penyakit iaitu menjalani kuarantin wajib 14 hari dan mematuhi peraturan di bawah dekri darurat.

Related posts

Leave a Comment