Darurat Thailand hingga 31 Mei

INDONESIA melaporkan 415 kes baharu positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes 9,511.

Jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata setakat ini 20,428 orang disenaraikan sebagai pesakit dalam pengawasan.

“Dalam tempoh 24 jam, dari pukul 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, berlaku lapan kematian, menjadikan jumlahnya 773 orang,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 370 kes, diikuti Jawa Timur (90 kes), Jawa Barat (79) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Di THAILAND, tujuh kes baharu dan dua kematian dicatatkan menjadikan jumlah kes jangkitan 2,938 dengan 54 kematian. Sejumlah 2,652 kes pulih.

Ini merupakan hari kedua Thailand merekodkan satu digit kes baharu.

Berikutan perkembangan ini, Bangkok memaklumkan kepada kerajaan rancangan untuk membuka semula beberapa tempat bagi lapan kategori – restoran dan kedai minuman (alkohol tidak disajikan tetapi untuk bawa pulang), pasar bukan makanan, kedai gunting rambut dan salun (perkhidmatan terhad), klinik (tidak termasuk klinik kecantikan), padang golf, doktor haiwan dan salun haiwan peliharaan, taman awam dan beberapa tempat sukan.

Bagaimanapun semua pihak perlu mengamalkan penjarakan sosial apabila tempat-tempat berkenaan dibuka semula.

Sementara itu, Perdana Menteri General Prayuth Chan o-cha mengumumkan perintah darurat akan dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

Katanya, perintah berkurung sebelum ini kekal dari 10 malam hingga 4 pagi sementara sekatan perjalanan terhadap warga asing memasuki Thailand juga dilanjutkan sehingga akhir Mei.

Di samping itu kerajaan tidak akan menangguhkan empat cuti umum pada bulan Mei iaitu Hari Pekerja (1 Mei), Hari Pertabalan (4 Mei), Hari Visakha Puja atau Hari Wesak (6 Mei) dan Upacara Membajak Diraja (11 Mei).

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan melaporkan 181 kes baharu menjadikan jumlah kes 7,958.

Sebanyak 43 kes pulih menjadikan kes sembuh 975.

Sementara itu Kementerian Kesihatan BRUNEI Darussalam melaporkan jumlah kes kekal 138 dan kematian satu apabila tiada kes baharu dicatatkan.

Ini bermakna 13 kes masih dirawat, dan dua daripadanya kritikal. Jumlah kes sembuh pula 124.

Related posts

Leave a Comment