Kes Singapura cecah 10,141

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) SINGAPURA mengesahkan 1,016 kes baharu Covid-19 sehingga 12 tengah hari 22 April menjadikan jumlah keseluruhan kes melepasi 10,000 iaitu 10,141 kes.

Satu kematian yang ke-12 juga dilaporkan, melibatkan wanita warga Singapura berusia 84 tahun yang meninggal pada 21 April dan disahkan dijangkiti virus pada 2 April.

Menurut MOH, sebahagian besar kes melibatkan pekerja warga asing iaitu 967 orang yang menginap di asrama pekerja manakala sejumlah 15 kes adalah warga Singapura atau Penduduk Tetap.

Baki 32 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di dormitori. Tiada kes diimport diumumkan.

MOH juga mengumumkan lapan kelompok baharu, dengan kelompok aktif di dormitori S11 di Punggol kekal sebagai yang terbesar, dengan 2,211 kes.

Singapura terus menyaksikan peningkatan kes positif koronavirus sejak kebelakangan ini, dengan sebahagian besar tertumpu pada pekerja asing yang tinggal di asrama atau dormitori, susulan langkah pemerintah menjalankan ujian secara agresif bagi mengetahui lebih jelas penularan yang berlaku di sini. 

Sebelum ini MOH memaklumkan, jumlah kes baharu di dalam masyarakat telah mencatat penurunan kepada purata 28 kes setiap hari minggu lalu, berbanding purata 39 kes setiap hari  pada mingu sebelumnya. 

Perdana Menteri Lee Hsien Loong kelmarin berkata, ketika jumlah kes Covid-19 di dalam masyarakat terus menurun, jumlah kes yang tidak ada kaitan belum lagi reda, menggambarkan kemungkinan adanya sekelompok besar kes yang tersembunyi.

Bagi membendung penularan wabak itu, Singapura melanjutkan tempoh pemutus litar sehingga 1 Jun dengan arahan sedia ada diperketatkan termasuk memastikan lebih banyak tempat kerja ditutup, mengurangkan tenaga kerja yang menjalankan kerja-kerja genting. 

Semua kedai makan kendiri yang menjual air, makanan ringan ditutup, termasuk kedai ‘bubble tea’, air tauhu, kedai kek,  aiskrim serta kedai gunting dan dandanan rambut.

Related posts

Leave a Comment