Indonesia naik, Thailand turun

INDONESIA mencatatkan 18 lagi kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada 635 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkaitan Covid-19 Achmad Yurianto berkata bagi tempoh antara 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini juga, terdapat sebanyak 283 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kini meningkat kepada 7,418.

Sebanyak 17,754 pesakit masih dalam pengawasan virus Covid-19 di Indonesia.

Provinsi Jakarta mencatat kematian tertinggi iaitu sebanyak 301 kes diikuti Jawa Barat (71 kes), Jawa Timur (58), Jawa Tengah (52) dan selebihnya di wilayah- wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, pelaksanaan perintah pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Kota Jakarta yang bermula 15 Mac lalu dilanjutkan sehingga 22 Mei ini.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan pada sidang media yang disiarkan secara langsung televisyen tempatan malam ini, meminta warga kota Jakarta mematuhi PSBB bagi bersama-sama memutuskan rantaian penularan virus berkenaan.

Jabatan Kesihatan FILIPINA mengesahkan 111 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes 6,710 sementara jumlah pulih pula 39 menjadikan 693 kes.

Pada masa yang sama, jumlah kematian meningkat kepada 448 apabila sembilan kes lagi dilaporkan.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM pula memaklumkan kes positif Covid-19 kekal 138 apabila tidak ada kes baharu dilaporkan.

Setakat ini, 20 kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua masih dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan mesin oernafasan.

Satu kes pulih dilaporkan menjadikan kes sembuh 117 sementara 126 orang sedang menjalani kuarantin. Setakat ini 2,421 telah menamatkan kuarantin.

Sementara itu THAILAND merekodkan 15 kes baharu serta satu kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes 2,826 dan kematian 49.

Kes kematian melibatkan seorang wanita berusia 58 tahun yang sebelum ini jatuh sakit pada 20 Mac dengan mengalami  demam, batuk serta mempunyai sejarah penyakit kronik.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr. Thaweesilp Visanuyothin berkata, jumlah kes baharu menunjukkan penurunan dalam tempoh tiga hari lalu iaitu dari 27 kepada 19 dan kini 15.

Perangkaan itu juga menunjukkan penduduk memberi kerjasama dengan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Related posts

Leave a Comment