1,122 kes baharu di Arab Saudi

ARAB Saudi terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila 1,122 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam dengan enam kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 10,484 manakala kematian 103 kes.

Enam kematian melibatkan bukan penduduk tempatan termasuk lima yang tinggal di Makkah dan seorang di Jeddah.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr. Muhammad Al-Abdel Ali seperti dilaporkan Agensi Berita Saudi (SPA) memberitahu, mereka yang meninggal dunia berusia 23 hingga 70 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kritikal.

Kota suci Makkah antara lokasi yang merekodkan angka tertinggi iaitu 402 kes diikuti Riyadh 200, Jeddah 186, Madinah 120, Dammam 78, Hufof 63, Jubail 39 dan Taif 16 kes. (Rujuk carta Saudi Gazette).

Sejak Jumaat, pasukan perubatan turun ke penempatan penduduk bagi melakukan pemeriksaan kesihatan yang bertujuan membendung penularan wabak.

Peningkatan kes ini juga dikaitkan dengan pendekatan yang diambil itu di mana pasukan perubatan mengesan lebih awal penduduk yang dijangkiti seterusnya mengasingkan mereka yang mempunyai hubungan  dengan pesakit.

“Daripada menunggu seseorang memberitahu kami bahawa mereka dijangkiti, kami pergi ke kawasan yang mungkin mempunyai banyak kes. Kami pergi ke rumah, ke kompleks kediaman sehingga kami mengesan kes sebelum mereka menemui kami,” kata Al-Rabiah.

Related posts

Leave a Comment