Singapura catat kes tinggi

KEMENTERIAN Kesihatan SINGAPURA (MOH) mengesahkan terdapat penambahan 623 kes jangkitan Covid-19 di negara itu, majoritinya melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama. Penambahan itu menjadikan keseluruhan kes kini 5,050.

Kementerian itu dalam kenyataan memberitahu 25 lagi kes telah discaj, menjadikan jumlah yang sembuh sepenuhnya kini adalah 708.

Sehingga pukul 12 tengah hari 16 April, Singapura melaporkan 568 kes import, 1,170 kes dikaitkan dengan komuniti yang termasuk pemegang pas kerja yang tinggal di luar asrama manakala 2,689 adalah dari asrama yang terlibat.

Sementara itu terdapat kira-kira 70 kes positif melibatkan rakyat Malaysia di  republik itu dengan 19 daripadanya sembuh. Kira-kira 10 daripadanya dikaitkan dengan enam kluster yang termasuk dua asrama, Tech Park Crescent dan S11 @Punggol, di samping Mustafa Centre, SingPost, sebuah hostel di Jalan Kubor, dan sebuah premis makanan segera,

INDONESIA turut mencatatkan peningkatan kes dengan jumlah yang dijangkiti mencecah 6,000 orang, manakala 24 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata sebanyak 407 lagi kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif kini bertambah kepada 5,923, sejak kes positif pertama disahkan pada 2 Mac lepas.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 24 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian (sejak kes kematian pertama pada 11 Mac) meningkat kepada 520,” katanya.

Provinsi Jakarta terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 246 kes, diikuti Jawa Barat (56), Jawa Timur (46) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Di FILIPINA, Jabatan Kesihatan (DOH) melaporkan 218 kes baharu setakat 4 petang ini menjadikan jumlah kes 5,878.

Sebanyak 25  kematian dilaporkan menjadikan 387 kes manakala 52 kes pemulihan baharu dicatatkan menjadikan  jumlah 487.

Sementara itu DOH sedang menjalankan pengambilan pekerja perkhidmatan kesihatan secara kontrak bagi  mendepani wabak Covid-19.

Pengambilan itu melibatkan doktor, jururawat, teknologi perubatan, dan kakitangan kesihatan yang lain.

THAILAND pula melaporkan 28 kes jangkitan baharu dan satu lagi kematian, melibatkan seorang wanita berusia 85 tahun yang menghidapi gejala kesihatan lain.

Daripada jumlah kes baharu itu, 16 mempunyai kaitan dengan kes yang sudah dilaporkan sebelum ini, lima  tidak mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini manakala tujuh lagi masih disiasat.

Jurucakap kerajaan, Taweesin Wisanuyothin berkata, secara keseluruhan, Thailand telah melaporkan seramai 2,700 orang yang diuji positif menghidap Covid-19 dan 47 pesakit telah meninggal.

Seramai 1,689 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, BRUNEI DARUSSALAM kekal dengan 136 kes apabila tidak ada laporan terbaru menenai jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan akhbar juga memberitahu, sebanyak 112 kes sembuh dilaporkan hari ini.

Related posts

Leave a Comment