Indonesia catat 380 kes baharu

PEMANDU pelancong warga Malaysia adalah antara tiga kematian akibat Covid-19 di THAILAND menjadikan jumlah kematian kumulatif 46 orang. Lelaki berumur 55 tahun dari Kelantan itu meninggal dunia pada 14 April di sebuah hospital di Bangkok. 

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, lelaki berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke Georgia, sebuah negeri di bawah bekas Soviet dari 13-19 Mac dan seorang daripada kumpulan pelancong yang diikutinya itu dijangkiti Covid-19.

Lelaki berkenaan jatuh sakit pada 21 Mac dan mendapatkan rawatan di hospital pada 29 Mac, kemudian disahkan positif Covid-19. Selepas dua minggu, keadaan

lelaki berkenaan didapati semakin merosot.

Dalam taklimat harian Covid-19, Thaweesilp memberitahu, isteri mangsa juga disahkan positif.

Dua lagi kematian melibatkan wanita tempatan berumur 35 tahun dan lelaki tempatan berumur 37 tahun. Kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan.

Sementara itu, sebanyak 29 kes baharu dilaporkan pada Rabu dan jumlah kes kumulatif ialah 2,672 kes. Setakat hari ini 1,593 pesakit sembuh.

“Kini kita melihat orang muda meninggal dunia akibat virus ini iaitu berumur bawah 60 tahun. Mereka mengalami sakit tenat Covid-19 pada Mac dan meninggal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, perintah berkurung pada waktu malam selama enam jam dari 10 malam hingga 4  pagi yang dilaksanakan sejak 3 April adalah antara penyumbang kepada penurunan kes baharu Covid-19 di negara ini.

Sementara itu Jabatan Kesihatan FILIPINA melaporkan 207 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes 5,660.

Sebanyak 13 kematian lagi dicatatkan menjadikan jumlah 362 kes sementara 82 kes pulih menjadikan 435.

INDONESIA pula melaporkan kes positif virus Covid-19 kini melebihi 5,000 kes dengan jumlah kematian meningkat kepada 496 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata 27 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 380 kes positif baharu dikesan, menjadikan kes positif kini berjumlah 5,516 kes,” katanya.

Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 244 kes, diikuti Jawa Barat (53 kes), Jawa Timur (46) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain.

Di BRUNEI DARUSSALAM, Kementerian Kesihatan melaporkan tidak ada kes baharu hari ini dan jumkah kes kekal 136 dan satu kematian. Sebanyak 108 kes pulih.

Related posts

Leave a Comment