Kes di 4 negara jiran kita

THAILAND mencatat 33 kes baharu jangkitan Covid-19, yang turut membabitkan tujuh doktor serta petugas perubatan, dan tiga lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 2,551 dengan 38 kematian.

Ia adalah angka terendah jangkitan harian yang dicatat pada April dan menyaksikan kemerosotan selama empat hari berturut-turut sejak 111 kes dilaporkan pada 8 April. 

Thailand telah mencatat peningkatan harian tertinggi pada 22 Mac dengan sejumlah 188 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Mengenai Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terkini membabitkan dua lelaki rakyat Thailand berusia 74 dan 44 tahun serta seorang wanita berusia 65 tahun. Keadaan kesihatan ketiga-tiga mangsa sememangnya adalah kronik.

Sejak Thailand mengenakan perintah berkurung selama enam jam yang bermula dari 10 malam hingga 4 pagi pada 3 April, beliau berkata angka kes baharu jangkitan Covid-19 yang dicatat terus berkurangan kecuali  111 kes yang dilaporkan pada 8 April membabitkan 42 rakyat Thailand yang pulang dari Indonesia.

Daripada sejumlah 2,551 kes Covid-19, sebanyak 1,218 telah dibenarkan keluar hospital.

Setakat ini, virus itu tersebar ke 68 daripada 77 wilayah dengan Bangkok mencatat kes paling tinggi dengan 1,294 diikuti Phuket (176), Nonthaburi (148), Samut Prakan (106), Yala (82) dan Pattani (77).

Sehingga hari ini, sejumlah 81 doktor dan kakitangan perubatan di negara itu telah dijangkiti sejak penularannya pada Januari.

Di INDONESIA, sebanyak 46 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam di Indonesia akibat Covid-19, jumlah tertinggi  setakat ini sejak kematian pertama pada 11 Mac lepas.

Menurut Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, jumlah kematian di Indonesia kini meningkat kepada 373 kes.

Sebanyak 36 daripada 46 kematian dalam tempoh 24 jam itu, berlaku di Jakarta.

“Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 399 kes positif baharu, menjadikan jumlah kes kini meningkat kepada 4,241 kes,” katanya.

Sebanyak 286 kes sembuh.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 195 kes, diikuti Jawa Tengah (43 kes), Jawa Timur (27) dan selebihnya di wilayah- wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, FILIPINA sehingga pukul 4 petang ini mencatatkan 220 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kes keseluruhan 4,648.

Jabatan Kesihatan juga memaklumkan, jumlah kematian meningkat kepada 297 setelah 50 kematian dilaporkan hari ini. Sebanyak 40 kes pula pulih menjadikan 197 kes.

BRUNEI Darussalam pula kekal dengan 136 kes apabila tidak ada kes baharu dilaporkan sehingga pukul 5 petang ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam, jumah kematian kekal seorang manakala sebanyak 106 kes sembuh.dilaporkan.

Related posts

Leave a Comment