200 Baca Puisi Dunia Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 April — Hampir 200 penyair dari 14 negara termasuk Malaysia akan menyertai acara ‘Baca Puisi Dunia: COVID-19’ yang akan disiarkan di laman Facebook (FB) pada pukul 8.30 malam (waktu di negara peserta) Ahad ini.

Negara yang sudah mengesahkan penyertaan setakat ini adalah Indonesia, Brunei Darussalam, Thailand, Singapura, Kemboja, Timor Leste, India, Pakistan, Iran, Belgium, Rusia, Korea Selatan dan Itali.

Acara bertemakan ‘Satu Dunia Satu Suara’  ini dianjurkan oleh  Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) dengan kerjasama Nuha Creative Resources (Malaysia), Gadis Buku (Malaysia), Salmah Creative (Indonesia) dan Ombak Scripthouse Production (Singapura).

Setiausaha Agung Penyiar Tuan Asri Husin yang juga terkenal dengan nama pena, Wacana Minda, berkata acara ini diadakan bagi mengungkapkan penghargaan dan inspirasi kepada petugas barisan hadapan dan para pejuang yang bertungkus-lumus mengorbankan nyawa untuk membasmi COVID-19.

“Kami juga ingin menyampaikan penghargaan penyair terhadap kemanusiaan sejagat dalam pelbagai genre karya seperti puisi, lagu puisi dan naskhah monolog.  Selain itu, kami berharap acara ini  dapat menggalakkan khalayak awam agar bersama-sama menjayakan kempen Duduk Di Rumah: Membaca dan Menulis yang telah dilancarkan sebelum ini oleh Penyair,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Tuan Asri berkata persembahan dalam bentuk bacaan puisi, lagu puisi atau monolog boleh diikuti melalui siaran langsung  FB atau rakaman video dan dibuat hantaran di FB masing-masing secara serentak pada tarikh dan waktu yang dinyatakan.

“Hantaran hendaklah dibuat dalam mod umum atau public. Penyertaan masih dibuka, tidak kira penyair lama, baharu atau sesiapa sahaja yang berminat.  Setiap peserta akan menerima sijil penghargaan. Setakat ini kami terima banyak penyertaan daripada kalangan generasi muda terutama pelajar.

“Antara penyair tempatan yang akan menyertai acara ini ialah Presiden Penyair Datuk Dr. Rahman Shaari, A. Ghafar Ibrahim, Malim Ghozali PK, Dr. Ahmad Razali, Sri Diah dan Norazimah Abdu Bakar,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai acara ini boleh menghubungi Penyair melalui www.wasap.my/60199960099/bacapuisiduniakoronavirus

 

 

Related posts

Leave a Comment