Ramai ingkar arahan hari Ahad

PUTRAJAYA: Ramai yang mengambil kesempatan keluar rumah pada hari minggu, Ahad seolah-olah itulah hari ‘cuti mingguan’ sedangkan dalam tempoh sehingga 14 April ini, setiap hari adalah cuti.

Keadaan itu menyebabkan jumlah tangkapan meningkat kerana ramai individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 554 individu ditahan di sekatan jalan raya dan rondaan oleh pihak polis semalam dan ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan sebanyak 51 peratus.

Katanya, orang ramai tidak harus menganggap hari minggu sebagai hari cuti dan mengambil kesempatan untuk keluar tanpa alasan kukuh.

“Saya berharap semua bercuti setiap hari dan bukan pada hari minggu sahaja.

“Tolong jangan ambil kesempatan untuk keluar beramai-ramai pada hari minggu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Disebabkan terdapat ramai yang melanggar PKP, tindakan dan pemeriksaan yang lebih tegas dikenakan pihak polis.

Tindakan tegas polis juga didorong oleh peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang diumumkan Kementerian Kesihatan.

“Tindakan keras oleh polis telah bermula. Oleh itu, jangan langar perintah dan arahan di bawah PKP yang dikeluarkan. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas,” kata beliau.

Semalam, pihak polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan sebanyak 743 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 293,051 kenderaan.

Sebanyak 25,818 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan 4,822 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

Related posts

Leave a Comment