236 kes pulih, 131 kes baharu

PUTRAJAYA  6 April – Jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini mencatatkan jumlah harian yang tertinggi iaitu 236 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari wad adalah 1,241 kes. 

“Jumlah ini adalah 32.72 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 131 kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 3,793 kes. 

Jelasnya, sehingga kini, seramai 102 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Dalam pada itu, beliau berkata daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 62 kes iaitu 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. 

“Kes kematian ke-62 (kes ke-3663) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya. 

Menurut Dr Noor Hisham, lelaki tersebut mempunyai sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks positif Covid-19 daripada perhimpunan di Seri Petaling (iaitu kes ke-1,265, kes ke-1,266, kes ke-1,267, kes ke-1,404 dan kes ke-2,549).

Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada 29 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 10.22 pagi semalam (5 April).

Related posts

Leave a Comment