89 kes baharu di Thailand

BANGKOK 4 April  – Thailand melaporkan 89 kes baharu Covid-19 dan satu kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 2,067 dengan 20 kematian.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata seorang lelaki warga Thailand berusia 72 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik merupakan kes kematian terkini yang dilaporkan di negara itu.
“Daripada 2,067 kes Covid-19, 1,762 adalah warga Thailand dan 305 adalah warga asing. Covid-19 telah menular ke 64 daripada 77 wilayah di negara ini,” katanya pada taklimat harian perkembangan Covid-19, hari ini.
Bangkok merekodkan kes tertinggi iaitu 980 kes diikuti Wilayah Nonthaburi, 128 kes dan Phuket, 107 kes.
Sehingga kini, terdapat 612 pesakit telah dibenarkan pulang manakala selebihnya masih menjalani rawatan di beberapa hospital.
Bagi memperlahankan penyebaran Covid-19, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) mengeluarkan perintah untuk menghentikan semua penerbangan masuk antarabangsa ke negara itu bermula hari ini sehingga tengah malam, Isnin.
Berdasarkan perintah itu, mana-mana individu yang tiba melalui pesawat yang berlepas sebelum perintah itu dikeluarkan, perlu menjalani kuarantin selama 14 hari, setibanya di Thailand.
Pesawat tentera, pesawat bantuan kemanusiaan dan perubatan, pesawat kargo serta pesawat yang membuat pendaratan kecemasan atau pendaratan teknikal dikecualikan, kata CAAT.
Ia berikutan insiden kekecohan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Jumaat, apabila sekumpulan warga Thailand yang pulang ke rumah masing-masing enggan menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin negara.
Dalam insiden itu, daripada 158 warga Thailand; yakni 103 dari Jepun, Singapura (44) dan Qatar (11) yang mendarat di lapangan terbang itu, hanya enam daripadanya bersetuju untuk ditempatkan di pusat kuarantin di Bangkok.
Sementara itu, Thaweesilp berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan baki 152 warga Thailand yang pulang ke negara itu menerusi Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Jumaat untuk melapor diri kepada pihak berkuasa yang berkenaan hari ini dan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin negara.
“Mereka mesti menghubungi Pusat Operasi Kecemasan (EOC) di Suvarnabhumi atau Pusat Damrongtham di wilayah mereka. Kami mempunyai maklumat mereka dan kami akan menjejaki mereka.
“Perdana Menteri mengarahkan untuk mengesan warga Thailand yang pulang itu dan meletakkan mereka di bawah kemudahan kuarantin negara. Jumlah kes yang dijangkiti dalam kalangan pelancong yang berada di luar negara masih tinggi. Ia berbahaya kepada negara,” katanya.
Sumber Bernama

Related posts

Leave a Comment