217 kes baharu, tiga kematian

PUTRAJAYA 3 April – Tiga kematian dan 217 kes positif baharu Covid-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari jni, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah.

Daripada kes baharu itu, sebanyak 58 berkaitan kluster perhimpunan Seri Petaling dan jumlah keseluruhan kes setakat ini adalah 3,333 manakala kematian meningkat kepada 53 kes.

Kematian ke-51 (kes ke-2561), wanita tempatan berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac dan kemudian ke Institut Jantung Negara. Beliau disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 pukul 1.07 tengah hari.

“Kes kematian ke-52 (kes ke-2122) pula, merupakan lelaki tempatan berumur 52 tahun dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April, jam 7.55 pagi,” katanya pada sidang media harian di sini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes kematian ke-53 (kes ke-2034) merupakan perempuan warga Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

Wanita itu, katanya dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 3 April pukul 9.30 pagi.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan berita gembira apabila, jumlah kumulatif pesakit sembuh daripada jangkitan Covid-19 di Malaysia meningkat lagi hari ini kepada 827 kes atau 24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, setelah 60 lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari wad.

Related posts

Leave a Comment