Covid-19 : 172 kes, empat kematian

PUTRAJAYA, : Sebanyak 172 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan kes positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 1,796 kes, manakala kematian akibat wabak itu meningkat kepada 19 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 71 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Manakala baki 101 kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini. 

Sehingga kini sebanyak 45 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 16 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan discaj dari wad adalah 199 kes.

Sementara itu, empat kematian dicatatkan iaitu kes ke-1334, 1251, 1625 dan kes ke-1246 menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 19 kes.

Setakat ini, terdapat 73 anggota kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan positif dan berdasarkan siasatan, punca jangkitan bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh. Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan daripada kontak keluarga yang positif Covid-19,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata seramai 1,895 anggota KKM yang menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, dan 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.

Related posts

Leave a Comment