Pakai jika ada simptom

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai bahawa tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut kecuali mempunyai simptom Covid-19 seperti selesema atau batuk.

“Saya ingin memberi penekanan di sini sekali lagi, penutup mulut dan hidung adalah untuk melindungi pekerja penjagaan kesihatan ketika mereka berhadapan dengan pesakit.

“Di khalayak ramai, anda tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut melainkan jika anda mempunyai simptom hidung berair atau batuk, jadi tidak perlu memakai penutup hidung dan mulut, kecuali terdapat petunjuk untuk memakainya,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan yang bertanya mengenai pengguna media sosial yang mengadu dilarang masuk kedai runcit dan pasar raya kerana tidak memakai penutup mulut dan hidung.

Sementara itu, Pakar Penyakit Berjangkit, Dr Christopher Lee, berkata

tiada keperluan bagi individu sihat memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam berikutan penggunaan alat perlindungan itu sepatutnya hanya digunakan individu yang sakit.

Beliau berkata,  setiap individu harus memainkan peranan membantu menyimpan bekalan penutup itu untuk kegunaan pekerja kesihatan yang lebih memerlukan dengan hanya membeli peralatan itu jika perlu.

“Hanya pakai  jika anda tidak sihat dan terpaksa keluar ke tempat awam bagi meminimumkan risiko kepada individu lain tetapi jika anda  boleh hanya duduk di rumah, itu lebih baik.

“Selain itu, saya rasa tiada keperluan untuk orang awam yang sihat untuk menggunakan topeng penutup hidung dan mulut kecuali jika mereka menjaga ahli keluarga yang tidak sihat di rumah.

“Seeloknya bekalan topeng penutup hidung dan mulut itu diperuntukkan kepada pekerja kesihatan yang lebih memerlukan, …bagi mereka yang sihat, cuba jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter atau hindari tempat yang ramai orang, ” katanya ketika dihubungi BH baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment