Tiada Ketua bahagian minta UMNO tinggalkan kerajaan

KUALA LUMPUR 6 Feb. – UMNO tidak menerima aduan atau laporan daripada Ketua Bahagian yang menuntut parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Presidennya, Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak menerima aduan atau laporan secara bertulis, WhatsApp atau secara terbuka berkait perkara itu.

“Tak ada satu pun yang saya terima secara bertulis, WhatsApp atau secara terbuka. Jadi tidak timbul.

“Dalam perjumpaan tersebut, saya yang mempengerusikan pertemuan dengan Presiden (Zahid). Presiden bercakap dan tidak ada seorang yang mempertikaikan atau menuntut untuk kita keluar sebab pelik juga nak keluar (dari Kerajaan Perpaduan).

Ini bukan kuasa mana-mana parti (berhubung pengampunan ke atas Najib). Ini kuasa Yang di-Pertuan Agong, nak marah siapa sebab UMNO adalah parti yang mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sesi Sembang Santai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama media di sebuah restoran di ibu negara.

Sebelum ini dilaporkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, UMNO adalah sebuah parti yang mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu dan mereka juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar mewujudkan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

“Takkan tiba-tiba dalam hal ini kita mengkhianatinya pula atau kita mempertikaikan,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama, beliau mengakui ada sesetengah pihak dalam UMNO yang tidak berpuas hati dengan keputusan Najib tidak mendapat pengampunan penuh.

“Mestilah ada (yang tak puas hati), sebab itu kita adakan pertemuan… kita sebutkan ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan itu tidak menghentikan usaha kita.

“Kerana ruang itu masih ada seperti yang Perdana Menteri sebut sendiri, kalau masih tak puas hati, kita masih ada ruang untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu,” katanya.

 

 

 

Related posts

Leave a Comment