SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran wabak koronavirus , Covid-19 akan membunuh jutaan nyawa jika penyakit itu tidak dibendung sepenuhnya.
Justeru beliau menggesa pemimpin dunia bertindak segera terhadap ancaman itu yang diibaratkan seperti api membakar hutan.
“Virus itu telah terbukti boleh dibendung. Ia mesti dicegah. Jika kita biarkan merebak seperti api membakar hutan – terutama di kawasan paling rapuh di dunia – ia akan membunuh jutaan orang,” kata Guterres pada Khamis
“Saya menyeru semua pemimpin dunia bersama-sama dan menawarkan tindak balas bersepadu terhadap krisis global ini.”
Beliau juga menyifatkan pandemik Covid-19 sebagai krisis kesihatan paling teruk dalam sejarah PBB dan pasti akan mencetuskan potensi kemelesetan ekonomi terburuk yang pernah direkodkan.
“Kita sedang menghadapi krisis kesihatan global dalam sejarah 75 tahun PBB – menyebabkan penderitaan manusia, menjejaskan ekonomi dan kehidupan orang ramai,” kata Guterres
Katanya kemelesetan ekonomi global – hampir pasti mencatatkan rekod.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, untuk benar-benar membasmi dan mengawal wabak, semua negara mesti mengambil langkah mengasingkan, menguji, merawat dan mengesan.
“Jika tidak, rantaian penyebaran akan meningkat semula apabila langkah kawalan pergerakan ditarik balik, “ katanya.
Atas faktor itu, katanya WHO terus mengesyorkan langkah mengasingkan, menguji dan merawat setiap kes yang disyaki dan mengesan setiap kontak, kunci terpenting dalam langkah pencegahan yang diambil setiap negara.
“Ia adalah harapan terbaik untuk menghalang rantaian penularan antara komuniti yang lebih meluas,” kata Tedros.
Sementara itu Tedros berkata, ujian kinikal vaksin pertama novel koronavirus telah bermula, 60 hari selepas virus itu dikongsi oleh China. Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan lokasi ujian klinikal itu dijalankan.
Pegawai kesihatan mengatakan tempoh sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan diperlukan sebelum vaksin itu dapat digunakan.
Tedros menyeru penyelidik di seluruh dunia berganding bahu “untuk membuat penilaian terhadap eksperimen terapeutik”.
“Kami tahu banyak negara kini terjejas dengan wabak COVID-19 dan sedang bergelut untuk mengekang penularan virus itu. Harapan masih ada,” kata Tedros.
Pelbagai langkah pencegahan boleh diambil oleh setiap negara seperti – membatalkan acara sukan, konsert dan perhimpunan berskala besar – untuk membantu membendung penularan wabak.
Menurutnya, langkah itu boleh membantu mengurangkan beban sistem kesihatan dan mengatasi epidemik, membolehkan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada langkah-langkah pencegahan.