Lebih 10,500 tabligh diperiksa

KUALA LUMPUR 19 Mac  – Sehingga 12 tengah malam tadi, seramai 10,553 ahli jemaah tabligh yang hadir pada perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling telah diperiksa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, beliau berkata sebanyak 4,986 sampel diambil dan 513 adalah positif COVID-19. 

“Seorang jemaah tabligh berumur 34 tahun telah meninggal dunia kelmarin. KKM (Kementerian Kesihatan) menyeru ahli jemaah tabligh yang belum berbuat demikian untuk tampil diperiksa oleh KKM,” katanya. 

Jumlah yang dimasukkan ke hospital ialah 659 manakala pengawasan di rumah seramai 6,627 orang. Jumlah sampel negatif adalah 2,559 manakala yang masih berada dalam senarai bilangan menunggu ialah 1,990 orang. 

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Sulawesi bagi mengenal pasti rakyat Malaysia yang menyertai acara Ijtima of Asia 2020. 

Susulan pemerintah Indonesia membatalkan acara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Sulawesi bagi memastikan rakyat Malaysia yang menyertai program itu menjalani pemeriksaan kesihatan, sebelum tindakan selanjut dan sewajarnya dilakukan.

Menurut media tempatan yang memetik Gabenor Sulawesi Selatan, Nurdin Abdullah, peserta tabligh dari wilayah lain di Indonesia telah dibataskan pergerakan mereka, dikawal pihak polis ke pelabuhan dan lapangan terbang, selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Manakala 411 peserta dari negara luar, akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum mereka dibenarkan pulang.

Menurut media tempatan, warga asing yang hadir itu adalah dari sembilan negara, termasuk 83 peserta dari Malaysia, selain dihadiri lebih 8,000 peserta Indonesia dari pelbagai wilayah.

Rakyat Malaysia di Sulawesi atau keluarga mereka di Malaysia yang mengetahui ahli keluarga tertentu sedang berada di Sulawesi diminta menghubungi kedutaan di talian +62 813 8081 3036, atau e-mail ke kedutaan di mwjakarta@kln.gov.my atau jkonsular@gmail.com.

Related posts

Leave a Comment