Rakyat letih pergolakan politik

SHAH ALAM 16 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya dihentikan segera tohmahan mengatakan pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ atau rampasan kuasa.

Titah baginda, tohmahan seumpama itu adalah tidak tepat memandangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara seperti diperuntukkan undang-undang.

“Beta sendiri mengikuti perkembangan perubahan kuasa itu yang dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati selepas perundingan teliti dan terbuka diadakan. Ia juga selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Bangunan DUN di sini, hari ini.

Tegas Sultan Sharafuddin, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, institusi raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu berkaitan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik.

Baginda juga bertitah, rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga ke hari ini.

“Kita semua sedia maklum betapa rakyat ketika ini mengalami kesempitan hidup yang amat sangat dengan kos sara hidup meningkat akibat kemelesetan ekonomi dunia, matawang ringgit merudum, peluang pekerjaan mengecil mengakibatkan peningkatan pengangguran serta penularan Covid-19 ketika ini.

“(Namun) Ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah dalam isu politik tidak berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah yang diberi iaitu mentadbir negeri dan memberi faedah kesejahteraan kepada rakyat,” titah baginda.

Justeru, Sultan Sharafuddin menasihatkan wakil rakyat Selangor supaya sentiasa memelihara kestabilan politik serta pentadbiran negeri berkenaan dan memberikan tumpuan kepada penyelesaian permasalahan bagi memastikan rakyat dapat keluar daripada kesempitan hidup.

Baginda bertitah perkara itu hanya akan dapat dicapai dengan pelaksanaan dasar-dasar yang boleh memangkin pertumbuhan ekonomi mampan dan menguntungkan rakyat, bukannya sibuk berbalah bagi merebut kuasa serta kedudukan.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan supaya perbezaan tampuk pemerintahan dan ideologi politik antara negeri dan persekutuan tidak akan menyebabkan rakyat Selangor terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial.

Baginda juga tidak mahu ada dalam kalangan Ahli Yang Berhormat mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran serta pemerintahan Negeri Selangor.

Related posts

Leave a Comment