BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei melaporkan lima lagi kes Covid-19 semalam, kesemuanya melibatkan kenalan rapat pesakit pertama yang dikesan positif pada Isnin lalu.
Mereka terdiri daripada isteri dan dua anak kepada kes pertama, rakan kes dan anaknya yang menghadiri satu perjumpaan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur mulai 28 Februari hingga 3 Mac lalu.
Mereka kini diasingkan untuk rawatan di Pusat Kuarantin Negara di daerah Tudong dan berada dalam keadaan baik dan stabil.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Brunei mengumumkan, cuti sekolah yang dijadual bermula 16 Mac diawalkan kepada 11 Mac.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Brunei, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun disahkan positif penyakit koronavirus itu pada Isnin, selepas dia pulang dari menghadiri perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur.
Beliau bersama tiga orang rakannya telah ke Kuala Lumpur pada 27 Februari dan pulang pada 3 Mac melalui Miri, Sarawak.
Pesakit itu mengalami demam pada 7 Mac dan menerima rawatan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada keesokan harinya.
Kementerian juga telah mendapat maklumat mengenai kira-kira 90 orang warga tempatan yang sama-sama menghadiri perkumpulan keugamaan (tabligh) di Sri Petaling pada 28 Februari hingga 3 Mac 2020.
“Oleh yang demikian, mereka adalah dikehendaki untuk menghubungi talian 2381383 atau 2381380 (waktu berkerja sahaja) atau Talian Darussalam 123 (di luar waktu berkerja) dengan segera bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan selanjutnya, “ kata kenyataan itu.
Sesiapa yang terlibat di dalam perkumpulan tersebut dan sedang mengalami tanda-tanda jangkitan seperti demam panas, batuk atau kesukaran bernafas hendaklah segera ke Pusat Flu (Flu Centre) di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar serta mengeluarkan ugutan atau ancaman terhadap sesiapa yang disyaki dijangkiti Covid-19, termasuk ahli keluarga mereka.
Sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, terutamanya yang berugama Islam seharusnya mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan orang-orang yang dijangkiti dan supaya Negara Brunei Darussalam dilindungi daripada segala bencana dan wabak penyakit.
Sebagai langkah pencegahan, orang ramai adalah dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan menjaga etika batuk dan bersin.
Bagi yang berugama Islam adalah disarankan untuk sentiasa berada di dalam wudhu kerana rukun-rukun wudhu adalah selari dengan nasihat-nasihat menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan, mencuci hidung dan mulut dan anggota tubuh badan lainnya.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan dari pergi ke luar negara jika tidak ada keperluan dan hendaklah memberikan kerjasama kepada pegawai-pegawai yang menjalankan tugas.