Sah, Muhyiddin PM

KUALA LUMPUR : Kemelut siapa Perdana Menteri (PM) selesai. Sah, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengesahan itu dibuat ketika timbul pelbagai spekulasi mengenai penyertaan semula Dr. Mahathir sebagai calon PM. Sebelum ini, Anwar Ibrahim juga dicalonkan tetapi hari ini Pakatan Harapan mengemukakan semula nama Dr. Mahathir.

Kenyataan media itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.

 “Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan media itu.

“Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh (P143)”.

Menurut Ahmad Fadil, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan pada 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama,” menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa ia adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik tersebut berakhir.

Istana Negara hari ini telah menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Menurut Ahmad Fadil, proses tersebut adalah lanjutan daripada titah Al-Sultan Abdullah dengan ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas diminta untuk mengemukakan pencalonan nama-nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Related posts

Leave a Comment