HARI ini ada cerita lain pula. Isu yang mulanya sudah ada tanda penyelesaian menambahkan kekusutan. Pakatan Harapan (PH) membuat perubahan atau pusingan U. PH hari ini mencalonkan semula Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Sebelum ini PH menolak nama Dr. Mahathir dan menamakan Anwar Ibrahim manakala Gabungan Barisan Nasional (BN), Pas dan Bersatu mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Dua calon ini masing-masing mendakwa mempunyai sokongan yang cukup.
Malangnya situasi hari ini sudah berubah. Sinar di hujung terowong tiba-tiba kelam. Entah apa pula yang akan berlaku petang ini, esok dan seterusnya. Permainan apa yang sedang berlangsung dan dipersembahkan kepada rakyat Malaysia? Rasanya hal seumpama ini tidak pernah berlaku di negara lain. Hanya di Malaysia.
Kebanyakan pemimpin politik tidak mampu menetapkan pendirian yang tegas dalam menyelesaikan kemelut yang melanda. Rakyat tidak jelas apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran orang politik ini. Kadang-kadang lebih banyak yang cakap lain, buat lain.
Benarlah seperti kata Anwar yang juga Presiden Keadilan pada 27 Februari lalu selepas mesyuarat bersama pemimpin PH (PKR, DAP, Amanah sementara Parti Pribumi Bersatu telah keluar PH) di Hotel Eastin, Petaling Jaya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mengadakan perbincangan bersama Dr. Mahathir, Perdana Menteri interim, dalam mencari penyelesaian kepada situasi politik yang kini dihadapi negara, beliau berkata : “Tidak. Perkara itu tidak berbangkit”.
Ditanya pula sama ada PH telah memutuskan hubungan dengan Dr. Mahathir, beliau menjawab: “Tidak, kami adalah Pakatan Harapan (PH). Mereka telah meninggalkan Pakatan Harapan”.
Kepada soalan mengenai kemungkinan Bersatu akan menyertai semula PH selepas Dr. Mahathir kembali menjadi Pengerusi Bersatu, Anwar sekali lagi tidak menjawab dengan jelas dengan berkata, “Kami berubah ikut hari”.
Begitulah permainan politik hanya untuk kuasa dan jawatan. Setiap hari sejak krisis bermula ada sahaja ‘perubahan’. Banyak masa berharga sudah terbuang begitu sahaja. Bukan setakat parti politik tetapi semua orang terheret dan diseret untuk sama-sama ‘mengikuti drama’ yang entah memasuki berapa episod bilangannya.
Dari peringkat bawah melibatkan rakyat sehinggalah ke institusi di raja terlibat dalam ‘persembahan’ ini. Rakyat sudah letih dengan ‘persembahan’ ini. Cukuplah. Hentikan dan tamatkan drama yang seolah-olah tidak ada penghujungnya.
Ingatlah dalam tempoh krisis ini, banyak cadangan, kritikan dan pelbagai lagi yang dikeluarkan. Hari ini cakap lain, esok cakap lain. Hakikatnya, ‘kesulitan atau perbalahan’ yang mengheret sama rakyat ini hanya disebabkan oleh seorang dua individu tertentu ynag kemudian mengheret lebih ramai terlibat.
Daripada beberapa orang watak utama, kini beratus atau ribuan pelakon tambahan terheret sama.
Apakah kesudahannya? Parti politik berpecah, pemimpin tidak sehaluan dan ahli parti keliru dan bercelaru. Yang terlibat pemimpin Melayu Islam. Rakyat pula yang menjadi pemerhati atau penonton mengharapkan penyelesaian segera. Tidak sedikit rakyat yang marah dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Jangan sampai timbul perasaan dulu disanjung kini dikecam. Pelbagai label diberi terhadap pemimpin. Rakus, gelojoh, tamak dan sebagainya sementara mereka yang berpolitik berselindung di sebalik kata-kata yang menggambarkan perjuangan mereka benar-benar suci. Rakyat sudah mula bosan.
Semoga mereka berubah pada hari esok, berubah menamatkan sengketa politik.
Nnn