Negeri mana akan berubah?

SELEPAS Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di peringkat Persekutuan, bagaimana pula dengan kerajaan negeri? Gabungan baharu dikatakan dibentuk melibatkan BN, Pas, Bersatu, Warisan, GPS Sarawak dan kumpulan 11 PKR. Namun adakah gabungan atau dikatakan Perikatan Nasional ini  sudah menjadi realiti?

Apabila Bersatu meninggalkan PH, maknanya wakil rakyatnya akan turut serta kecuali berlaku sebaliknya? Demi jawatan atau kuasa (jika ada) wakil rakyat di negeri terlibat khususnya di Perak, Kedah, Melaka dan Johor akan mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai apa yang berlaku seterusnya di peringkat Pusat.

Jangan terburu-buru. Dentuman guruh di langit belum pasti hari akan hujan. Jangan bertelur sebiji, riuh sekampung.

Apa yang berlaku di peringkat Pusat tidak semestinya berlaku di negeri. Bagi  negeri yang dikuasai DAP dan PKR serta Amanah, keadaan tidak akan berubah. Contohnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Begitu juga negeri yang dikuasai BN, Pas dan Warisan iaitu Perlis, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sabah. Manakala Sarawak juga tidak terjejas.

Jika ada wakil DAP dan PKR dalam kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, mereka akan digugurkan daripada gabungan. Itu pun masih menunggu perkembangan selanjutnya walaupun kerajaan PH sudah tumbang.

Di Perak, PH mempunyai 30 kerusi, iaitu DAP (18), Amanah (6),  PKR (4) dan Bersatu (2). Pembangkang pula mempunyai 28 kerusi iaitu 25 daripada UMNO dan tiga Pas. Seorang lagi Bebas. Jika dua ADUN Bersatu mengikut keputusan parti, maka jumlah gabungan PH tinggal 28 manakala gabungan BN, Pas, Bersatu memperoleh 30 daripada 58 kerusi.  Dengan majoriti dua kerusi, kerajaan baharu boleh dibentuk.

Di Melaka, kedudukannya sama dengan Perak. Daripada 28 kerusi, PH sebelum ini mempunyai 15 ADUN iaitu lapan wakil DAP, tiga PKR dan masing-masing dua dari Bersatu dan Amanah. Manakala 13 kerusi lagi milik UMNO. Jika Bersatu mengikut jejak Pusat, kerajaan PH Melaka tumbang.

Di Kedah, gabungan PH mempunyai 19 kerusi DUN yang terdiri daripada tujuh wakil PKR, enam Bersatu, empat Amanah dan dua DAP.  Pembangkang sebelum ini mempunyai 17 kerusi iaitu 15 Pas dan dua UMNO. Apabila Bersatu menukar sokongan, kedudukan kerusi pakatan baharu menjadi 23 daripada 36 kerusi DUN. Hanya dengan satu kerusi, akan mencapai majoriti dua pertiga.

Kedudukan di Johor pula akan  ‘tergantung’. Daripada 56 kerusi, PH mempunyai 39 iaitu 14 DAP, 11 Bersatu, sembilan Amanah dan lima PKR. Pembangkang pula 17 kerusi iaitu 14 UMNO, dua MIC dan satu Pas. Jika semua ADUN Bersatu beralih sokongan, kedudukan menjadi 28 : 28. Siapakah penyelamat bagi membolehkan pentadbiran negeri berjalan seperti biasa?

Semalam, mungkin agak terburu-buru untuk mengejar kuasa, UMNO di Johor menyatakan sudah mendapat sokongan wakil PKR dan Amanah sehingga boleh membentuk kerajaan. Bagaimanapun pemimpin Amanah menafikan. Itu provokasi politik.

Di Negeri Sembilan, PH lebih selesa kerana tidak ada kerusi Bersatu. Daripada 20 kerusi PH di DUN,  11 diwakili DAP, enam PKR dan tiga Amanah. Pembangkang pula diwakili 15 UMNO dan satu MIC. Kecuali sekurang-kurangnya tiga  anggota kerajaan berubah fikiran.

Kedudukan lebih baik adalah di Selangor di mana PH menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN. Gabungan PH diwakili PKR (21 kerusi), DAP (16), Amanah (8) dan lima wakil Bersatu. Enam kerusi pembangkang terdiri daripada lima UMNO dan satu Pas.

Related posts

Leave a Comment