Indonesia tidak sembunyi Covid-19

INDONESIA, antara negara anggota ASEAN yang belum melaporkan sebarang kes Covid-19 (Coronavirus) tidak menyembunyikan apa-apa maklumat berkaitan wabak itu, kata Menteri Kesihatan, Terawan Agus Putranto .

“Kami mempunyai peralatan untuk memeriksa koronavirus dan mereka telah diluluskan…Tiada perkara untuk disembunyi,” katanya selepas mesyuarat Kabinet di istana presiden Bogor, semalam.

Indonesia antara negara yang masih ‘selamat’ daripada wabak itu yang telah mengorbankan lebih 1,000 orang. Berbanding jiran-jirannya, banyak kes telah dilaporkan di  Singapura, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengkaji perubatan yang melahirkan kerisauan bahawa tiada kes virus dikesan di negara keempat terbesar di dunia yang mempunyai lebih 260 juta penduduk itu.

Menurut laporan, Indonesia telah menguji 64 sampel dari kes yang disyaki jangkitan virus – 62 kes diuji negatif sementara ujian bagi dua lagi kes masih belum selesai.

Pengkaji di Sekolah Kesihatan Umum di Harvard T.H. Chan di Amerika Syarikat, dalam satu kajian berkata,  Indonesia perlu mengukuhkan pengawasan dan kawalan wabak virus – terutamanya memandangkan ia mempunyai penerbangan langsung dari bandar pusat Wuhan, yang merupakan pusat punca virus.

Pasukan itu berkata, kekurangan kes jangkitan yang disahkan di Indonesia “mungkin menyarankan ada kemungkinan kes yang tidak dikesan” kerana perjalanan di udara boleh menyumbang kepada kes yang dieksport dari China.

Related posts

Leave a Comment