Janji mulut banyak susahnya

 

Bagaimana saya nak mandi,

     Buaya besar melintang sungai;

Bagaimana saya nak janji,

     Janji yang besar belum ditunai

Bunga ros dalam pasu,

     Mari tudung dengan kain,

Janji tuan janji palsu,

     Janji sudah berubah lain.

DUA rangkap pantun empat kerat berkaitan janji, petikan Kurik Kundi Merah Saga. Beberapa hari ini, banyak yang memperkatakan tentang janji. Pelbagai ulasan diberi mengenai janji. Bukan janji manifesto sebelum Pilihan Raya Umum  Ke-14 (PRU14) tetapi janji sebelum dan selepas PRU14. Janjinya adalah Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) Kelapan dan Dr. Mahathir Mohamad sebagai PM separuh penggal. 

Itu janji yang disepakati bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH). Kini suasana sudah berbelit-belit. Banyak pihak tetutama pemimpin dan anggota parti politik sudah bercakap atau bersuara mengenai janji menobatkan Anwar sebagai PM. Ikut jadual yang dijanjikan masa semakin hampir. 

Dr. Mahathir pula berulang kali menjelaskan akan mengotakan janjinya sejak beliau kembali semula ke Putrajaya setelah 22 tahun di situ sebelum ini. Namun sejak kebelakangan ini lain pula nada Dr. Mahathir.  Semakin ‘berbunga-bunga’ bahasa mengenai janji sehingga ada yang ‘melompat’ mengenai janji itu.

Pada masa yang sama ada puka unsur-unsur luar yang seolah-olah menghantui janji ini termasuk cadangan Pas membuat Usul Percaya PM, kononnya pembentukan pakatan baharu, pembentukan parti baharu dan macam-macam lagi. Laluannya masih berliku, tersilap jalan tergelincir ke dalam gaung. 

Apa maksud janji? Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, janji antara lain membawa maksud, pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu: syarat, ketentuan, tun­tutan; pengunduran waktu, tangguh, penundaan; ajal, had, waktu; sudah sampai. Begitulah sedikit sebanyak mengenai janji.

Jika dilihat maksudnya bolehlah kita simpulkan bahawa janji mesti ditepati kerana telah dipersetujui sebelum ini. Contohnya seperti janji mahu menghapuskan tol, menghapuskan atau mengurangkan bayaran PTPTN, menurunkan harga minyak dan barang keperluan dan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan. Itu contoh janji, tidak ada kena mengena dengan mana-mana pihak.

Tunaikanlah janji itu. Kata orang jika kerbau dipegang orang talinya, jika manusia dipegang mulutnya. Maksudnya janji mesti ditepati.

Dalam hal ini,  semasa PRU lalu, bukan setakat rakyat dijanjikan dengan pelbagai janji tetapi juga pemimpin. Anwar salah seorang pemimpin yang dijanjikan jawatan iaitu jawatan No. 1. Bukan kecil jawatannya itu. Jawatan PM sudah lama dinantikan setelah tersangkut setakat Timbalan Perdana Menteri di bawah Dr. Mahathir. Anwar senasib dengan Musa Hitam dan Ghafar Baba.

Namun jika diselak kembali perkembangan sejak kebelakangan ini, janji itu bagaikan dalam keadaan samar. Mungkin seperti samarnya manifesto dijanjikan parti politik semasa PRU. Malahan ada yang secara sinis menggelarkan Anwar ‘PM tepi’. Macam-macam orang kita mencipta ayat untuk menggambarkan situasi ini.

Hakikatnya, Dr. Mahathir sudah berulang kali mengulangi janjinya. Tetapi masih ada keraguan terutama di pihak yang menuntut janji itu dipenuhi. Seperti pantun:

Padi pulut dalam pinggan

Padi Jambi tepi perigi,

Janji mulut boleh lupakan

Janji hati bawa ke mati.

Hujung tahun lalu, Dr. Mahathir mengulangi janjinya akan menyerahkan jawatan PM kepada Anwar biarpun bekas timbalannya itu berhadapan dakwaan serangan seksual baharu. Bagaimanapun, jawatan itu tidak akan diserahkan sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan dianjurkan Malaysia pada November tahun ini. 

“Bagi saya, saya akan meletak jawatan dan saya menyerahkan kepadanya (Anwar). Jika orang tidak mahu dia, itu urusan mereka tetapi saya akan tunaikan bahagian janji saya…biarpun apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan tunaikan,” katanya dalam temu bual bersama Reuters.

Penangguhan itu tidak ada masalah bagi Anwar yang juga Presiden PKR. Jika dua dekad atau 20 tahun menunggu, inikan pula enam bulan. Tidak ada hal menanti!

Dan baru-baru ini pula, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan akan menunaikan janjinya tetapi nadanya sudah dianggap lain. 

“Kita berjanji, kita berpegang kepada janji. Saya cuma jadi perdana menteri kerana dapat sokongan dari parti (gabungan PH) saya, terutama dari majoriti ahli Dewan Rakyat. Kalau saya tidak hendak letak jawatan tetapi majoriti dalam Dewan Rakyat tolak saya, saya jatuh. Yang berkuasa sebenarnya Dewan Rakyat dan ahli-ahlinya,” katanya ketika wawancara bersama laman The Malaya Post.

Menariknya, Dr. Mahathir berkata Dewan Rakyat yang menentukan nasibnya dan juga nasib mana-mana calon PM. Baginya, parti adalah satu bahagian (aspek) tetapi parti itu harus parti majoriti. 

“Tetapi kalau pun ia parti majoriti tetapi calon (dari parti itu) ditolak Dewan Rakyat, dia pun tak boleh jadi perdana menteri,” katanya lagi.

Begitu ulasan Dr.Mahathir berkait dengan janji. Maknanya kita boleh berjanji tetapi ada faktor lain yang akan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan. Ini soal negara, bukannya soal individu. Justeru ada faktor lain yang akan menentukan kedudukan jawatan PM termasuklah sokongan anggota Parlimen.

Semalam, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail secara tidak langsung mahu Dr. Mahathir mengotakan janji menyerahkan jawatan PM kepada suaminya dan menjadi satu kemestian bahawa jawatan Perdana Menteri perlu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Memang ‘promise is a promise’,” katanya ringkas semalam.

Begitulah kisah janji. Janji mula diragui. Ada yang seolah-olah tidak yakin lagi dengan janji-janji yang dibuat, sama seperti rakyat mempersoalkan janji Pakatan Harapan terutama pemimpin-pemimpin yang begitu ghairah menabur janji sebelum ini. Kita tunggu dan lihat sama ada janji ditepati atau dimungkiri. Mungkin ditepati tetapi ada halangan di pertengahan jalan.

Apa guna tanam keranji,

Kalau tidak manis menggula,

Apa guna janji-janji,

Kalau kata tidak dikota.

Related posts

Leave a Comment