PELAWAK Abam dari kumpulan Bocey, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, kira-kira pukul 8.30 pagi hari ini (10 Februari 2020) akibat demam panas.
Berita mengejutkan itu dimaklumkan oleh adik Abam, Ali Puteh kepada sebuah portal hiburan, sebentar tadi.
Menurut Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan, kakak iparnya, Siti Nur Hidayah Mohamad Ali, telah menghubunginya dan memberitahu yang Abam tidak sedarkan diri.
“Bila mendapat panggilan telefon daripada kakak ipar, saya bergegas ke kediaman mereka dan waktu saya sampai, ya, dia sudah tidak bernafas,” katanya sebak.
Sementara itu, Siti Nur Hidayah, 28, memberitahu Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.
“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala dan enggan ke hospital, bila diajak.
“Dia anggap itu hanya demam dan sakit kepala biasa saja. Tapi pagi tadi sewaktu saya kejutkan dia untuk solat subuh, dia tak memberi sebarang tindak balas,” katanya yang tak dapat menahan sedih.
Abam atau nama sebenarya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan, 32, telah berkahwin dengan Siti Nur Hidayah pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Jufrey, 5 bulan.
Jenazah Abam akan dibawa ke Masjid Gombak Utara dan akan dikebumikan selepas solat Asar.
–KHADIJAH IBRAHIM BebasNews