Kematian di China meningkat

BEIJING: Jumlah kematian akibat wabak coronavirus di China meningkat kepada 213, selepas wilayah Hubei melaporkan 43 kematian terbaharu hari ini.

Perangkaan terkini itu menandakan jumlah kematian semakin meningkat setiap hari, walaupun pelbagai langkah pencegahan dilaksanakan Hubei sejak seminggu lalu.

Semalam, pihak berkuasa kesihatan China melaporkan 38 kematian, termasuk satu di luar Hubei.

Hubei hari ini turut mengesahkan 1,220 kes terbaharu, iaitu peningkatan berbanding hari sebelumnya.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan coronavirus yang telah mengakibatkan kematian lebih 170 orang di China sebagai darurat kesihatan awam global apabila ia telah merebak ke 18 negara.

Sebahagian besar daripada lebih 7,800 kes dikesan di peringkat global, menurut data terbaru WHO, di mana virus itu mula dikesan di sebuah pasar hidupan liar haram di bandaraya Wuhan.

Bagaimanapun 100 kes telah muncul di negara lain, menyebabkan sekatan perjalanan, penularan sentimen anti-China di beberapa tempat dan peningkatan permintaan terhadap topeng muka.

Di wilayah Hubei iaitu ibunegeri Wuhan, kira-kira 60 juta orang tinggal dalam kuarantin apabila China berusaha membendung penularan coronavirus.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu sidang akhbar di Geneva memuji tindak balas China, tetapi berkata, WHO bimbang virus merebak ke negara yang tidak mempunyai sumber untuk menanganinya.

“Sebab utama pengisytiharan ini ialah bukan kerana apa yang berlaku di China tetapi kerana apa yang berlaku di negara lain.

“Kebimbangan utama kami ialah potensi virus itu untuk merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment