KUALA LUMPUR 29 Jan. — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan 2019 novel koronavirus.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, suspek berumur 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada 4 petang semalam bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di laman Facebook pada 26 Jan 2020.
“ Kandungan mengenai koronavirus itu didapati palsu. MCMC dan PDRM sedang giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan,” kata MCMC.
Menurut MCMC lagi, suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
“ Tindakan tegas ini adalah salah satu usaha MCMC dan PDRM mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai koronavirus oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam,” menurut MCMC.
Penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
— BERNAMA