THAILAND buat hari ke-64 merekodkan sifar jangkitan tempatan tetapi terus mencatatkan kes import apabila pada Selasa, 28 Julai, dua anggota tentera yang pulang dari Amerika Syarikat (AS), disahkan positif Covid-19.
Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata lelaki berusia 22 dan 25 tahun itu tiba pada 22 Julai selepas menyertai satu latihan ketenteraan dan menjalani kuarantin 14 hari di kemudahan yang disediakan.
Sejumlah 151 anggota tentera Thai kembali ke negara ini selepas menyertai latihan, Lightning Forge 2020 bersama tentera AS di Schofield Barracks, Hawaii. Sebaik sahaja tiba, 10 daripada mereka merupakan individu dalam siasatan dan enam daripada mereka disahkan positif pada 24 Julai.
Thailand setakat ini mencatatkan 3,297 kes dengan 58 kematian sementara 3,111 pesakit pulih dan 129 masih berada di wad.
Sejak 3 April, sejumlah 66,863 warga Thai kembali dari luar negara dan menjalani kuarantin wajib dan daripada jumlah itu, 360 didapati positif selepas disaring
SINGAPURA melaporkan 359 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan kebanyakannya melibatkan pekerja warga asing yang tinggal di asrama.
Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan terdapat satu kes komuniti melibatkan pemegang pas pekerja dan dua kes import yang telah dikenakan Notis Duduk Di rumah, semasa tiba di negara itu.
Dengan pertambahan kes itu menjadikan jumlah jangkitan mencecah 51,197 kes.
Berdasarkan data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 686 kes import, 2,167 kes komuniti dan 47,985 penghuni asrama.
Sehingga tengah hari semalam, 27 Julai, sebanyak 45,692 atau 90 peratus daripada keseluruhan kes telah sembuh.
Masih terdapat 179 kes yang dirawat di hospital dengan kebanyakan pesakit dalam keadaan stabil atau semakin baik dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.
INDONESIA merekodkan kes positif Covid-19;;yang terus meningkat kepada 102,051 kes, dengan jumlah kematian keseluruhan kini 4,901 orang.
Berdasarkan data terkini yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id sebanyak 46,648 pesakit masih dalam pemantauan .Sebanyak 63 lagi kematian dicatatkan, manakala kes positif baharu adalah sebanyak 1,748 kes.
Jawa Timur mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 21,125 kes, diikuti Jakarta (19,995) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,630 orang, diikuti Jakarta (784), Jawa Tengah (582), Sulawesi Selatan (311) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.
Sementara itu, Presiden Indonesia Joko Widodo memberi amaran kemungkinan berlaku gelombang kedua jangkitan Covid-19,
Amaran itu muncul ketika peningkatan pandemik di beberapa negara asing setelah perintah kawalan pergerakan dilonggarkan dan pembukaan semula aktiviti perniagaan.