Usah diulangi ‘hari ini menang, esok… ‘

EMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih semakin panas, sama seperti suhu atau cuaca yang dialami. Calon yang bertanding terutama mewakili Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan PSM begitu rancak berkempen. Mereka dibantu oleh pemimpin-pemimpin utama parti. BN turut dibantu oleh pimpinan Pas. Calon Bebas juga tidak ketinggalan berkempen dengan menemui pengundi di tempat-tempat awam. Masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri. Cara atau kaedah, tutur kata calon serta pemimpin akan menjadi ukuran untuk pengundi membuat pilihan. Sebarang kesilapan perlu dielakkan supaya tidak dijadikan modal oleh pihak lawan.

Benar, siapa pun yang menang tidak mampu mengubah apa-apa kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor. Namun sebagai kerajaan, PH yang diwakili calon Bersatu mahu mempertahan kerusi itu, sekali gus mencatatkan kemenangan pertama parti dalam siri PRK selepas PRU-14. Adakah Bersatu mendapat kepercayan pengundi untuk menggantikan UMNO lebih-lebih lagi selepas parti bunga itu menerima penghijrahan anggota Parlimen UMNO? Kemenangan itu juga penting sebagai isyarat pengundi masih menaruh harapan kepada PH walaupun banyak perkara dijanjikan melalui manifesto belum tertunai.

BN pula mahu mendapatkan semula kerusi yang pernah dikuasainya. Kemenangan Itu juga boleh diterjemahkan sebagai tanda bahawa rakyat masih percaya dengan formula BN dan pada masa yang sama, tanda protes terhadap PH. Paling penting kemenangan BN itu juga akan memperlihat sejauh mana kerjasama UMNO-Pas dapat diperkukuh lagi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kerjasama parti Melayu-Islam berkenaan sudah bermula melalui beberapa PRK yang lalu.

Menyelak kembali siri PRK selepas PRU-14 ini, PH telah memenangi atau mempertahan empat kerusi iaitu tiga DUN – Sungai Kandis (PKR), Seri Setia (PKR), Balakong (DAP), dan Parlimen Port Dickson (PKR). BN pula kekal di kawasan Parlimen Cameron Highlands. Bagi DUN Semenyih, kelebihan memihak kepada Bersatu iaitu parti yang menguasai kerajaan. PH boleh menabur pelbagai janji tetapi perlu lebih berhati-hati kerana banyak janji tidak tertunai dalam tempoh dijanjikan. Mereka (kerajaan) bukan lagi ‘saudagar air liur’ yang boleh bercakap apa sahaja tanpa fakta.

Buang mentaliti pembangkang di dalam kerajaan. Mereka perlu lebih berhati-hati. Kata orang terlajak perahu boleh berpatah balik, terlajak kata buruk padahnya. Dalam isu menghapuskan tol misalnya, sejak memenangi PRU, kerajaan sudah mengeluarkan pelbagai kenyataan. Walaupun belum muktamad, kenyataan itu adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa janji itu akan dipenuhi. Sebagai rekod, penduduk Semenyih tidak dapat mengelak daripada tol untuk ke Kuala Lumpur atau ke selatan. Desakan pembangkang supaya menunaikan janji sudah tentu merimaskan kerajaan kerana lambat laun perlu melakukan pusingan-U.

Perdana Menteri, Dr.Mahathir Mohamad yang memperkenal lebuh raya tol di negara ini semasa menjadi Perdana Menteri Ke-4 pernah menyatakan tidak mungkin tol percuma dilaksanakan. Katanya, satu cara untuk mengadakan tol percuma adalah dengan menaikkan harga petrol, satu lagi tindakan yang boleh menjadi senjata makan tuan kerana janji PH adalah untuk menurunkan harga minyak. Berdasarkan kenyataan Dr. Mahathir sebelum ini, jelaslah tol percuma tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan kedudukan kewangan negara tetapi realitinya, ‘mengadakan laluan percuma tidak boleh dilakukan’.

Dalam apa keadaan pun rakyat mahu melihat janji ditunaikan dan veteran UMNO yang melompat ke Bersatu, Dr. Rais Yatim juga awal-awal lagi memberi ingatan supaya isu tol diberi perhatian. Rais mencadangkan supaya menutup satu tol serta mengurangkan harga minyak untuk kenderaan. Kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan lagi: “Tunai janji Felda pra-Mei 2018. Buat stok penimbal beras, tepung, minyak masak, susu anak. Semenyih menang,” kata mantan menteri Kabinet itu.

Tidak mustahil, akan ada beberapa kenyataan berkaitan tol bakal menyusul sekiranya isu itu benar-benar menghantui Bersatu. Apakah harga minyak juga akan diturunkan menjelang hari pengundian pada 2 Mac ini? Kita tunggu hari Jumaat. Semasa kerajaan BN, hari Rabu dinantikan tetapi sekarang Jumaat adalah ‘hari penentuan’ sama ada harga minyak kekal, turun atau naik. Maknanya kembali cara lama. Inilah antara kekangan yang dihadapi kerajaan dalam melaksanakan janji-janji yang sudah dibuat oleh pimpinan parti politik sama ada DAP, PKR, Amanah atau Bersatu. Dulu, sebagai saudagar air liur, mereka memperdagang apa sahaja yang terlintas dalam fikiran atau di depan mata.

Kini banyak yang dicakap tidak mampu ditunaikan sebaliknya ada yang BN lakukan dikurangkan atau ditarik balik. Adakah semua situasi ini akan berlaku sekiranya BN terus berkuasa? Mungkinkah ‘kehidupan’ lebih baik sekiranya manifesto Jaminan Orang Muda (JOM) BN dilaksanakan terutama melibatkan peluang pekerjaan? Dalam tempoh beberapa hari yang berbaki ini, kempen mendekati rakyat amat penting, bukan sekadar memperkenal diri tetapi juga menghuraikan apa yang akan dilakukan. Namun dalam keghairahan bercakap, mereka tidak boleh melakukan kesilapan lebih-lebih lagi pada pihak kerajaan.

Pemimpin kerajaan perlu bertindak sebagai kerajaan. Buang tabiat lama pembangkang yang suka menyalahkan orang lain atas apa yang tidak dapat ditunaikan. Buang lagak ‘saudagar air liur’ yang menjanjikan ‘bulan dan bintang’. Usah terbawa-bawa dengan ayat “Hari ini berkuasa, esok….”

Mungkin disebabkan bapa borek anak rintik, calon Bersatu terbawa-bawa dengan gaya pemimpin mereka sehingga pemimpin yang sudah tersilap sebelum ini terpaksa membetulkan ayat berkenaan. Dalam satu ceramah, calon Bersatu berjanji untuk menyelesaikan masalah rakyat sehari selepas kemenangan. Sabtu menang, hari Ahad selesai masalah.

Adakah calon tidak belajar daripada pengalaman lalu? Benar ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Pimpinan kerajaan tidak boleh terbawa-bawa dengan cara lama berjanji itu dan ini dengan pelbagai formula dan matematik di atas kertas. Rasanya pihak kerajaan sudah belajar daripada kesilapan. Mereka kini adalah kerajaan yang perlu meyakinkan rakyat bukan lagi mengulangi cerita lama “bagai menanti ara hanyut”.

Mungkin Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau Filem Negara boleh mengumpulkan video ucapan semasa kempen PRU atau ketika menjadi pembangkang. Amat menarik jika video ini dijadikan dokumentari atau filem pendek sebagai bahan sejarah untuk renungan bersama. Ramai yang menjadi anggota Kabinet sekarang mempunyai rakaman video dengan janji masing-masing sekiranya berkuasa. Jika diselak kembali, mereka ini begitu lantang bercakap mengenai tol, AES, PTPTN, harga minyak, harga barang, BR1M, GST, peluang kerja, rumah dan macam-macam lagi. Kumpulkan untuk dijadikan panduan supaya jangan kerana politik, kebanyakan orang bukan sekadar pengundi tetapi rakyat keseluruhannya menjadi mangsa. Bercakap mudah tetapi melaksanakannya bukan mudah.

Sumber: http://bebasnews.my/2019/02/27/selak-usah-diulangi-hari-ini-menang-esok/

Related posts

Leave a Comment