Ikhlas dalam gerak kerja membantu mangsa banjir

SYUKURLAH kerana situasi banjir di negeri-negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor semakin pulih. Ramai yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir telah kembali ke kediaman masing-masing. Bagaimanapun kita harus sentiasa berwaspada kerana banjir dijangka berulang. Gelombang kedua kemungkinan berlaku minggu ini. Terdapat juga tiga episod hujan lebat sehingga Februari tahun depan. Apa pun, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Dalam setiap bencana, kerosakan harta benda awam dan persendirian tidak dapat dielakkan. Banyak kerugian yang terpaksa ditanggung terutama oleh keluarga yang terlibat dalam bencana ini. Begitu juga di pihak kerajaan.

Biarlah banjir yang melanda baru-baru ini memberi pengajaran kepada kita semua untuk memperbaiki pelbagai kelemahan yang ada semasa mengurus bencana ini. Dalam situasi menghadapi bencana yang muncul sekali sekala dalam skala yang tidak menentu, sudah pasti banyak kelemahan berlaku. Ini adalah hakikat. Perkara ini turut diakui oleh pihak kerajaan. Maka Perdana Menteri, Najib Tun Razak mahu kerajaan persekutuan dan negeri mengkaji semula sistem serta langkah menghadapi banjir dan bencana alam sedia ada supaya dapat menampung secara efisyen dan berkesan segala keperluan yang bakal meningkat dan perubahan iklim lebih serius.

Kita turut mengalu-ngalukan gerak kerja pelbagai pihak dari seluruh negara yang sama-sama menghulurkan sumbangan tenaga, wang ringgit dan sebagainya tanpa mengira fahaman politik. Setiap pihak cuba menghulurkan bantuan secepat mungkin dan sekadar yang termampu.

Seperti kata Najib, pelbagai pihak telah tampil memberi sumbangan dalam bentuk tenaga, wang ringgit dan sokongan moral untuk mangsa terlibat. Katanya: “Semangat, usaha dan keprihatinan ini benar-benar mencerminkan (semangat) 1Malaysia tanpa mengira agama, mahupun aliran politik masing-masing,’’.

Dalam menghadapi suasana bencana, semua pihak eloklah memberi tumpuan kepada kerja-kerja memindah dan menyela-mat serta menyediakan penempatan sementara untuk mangsa banjir. Tidak dinafikan, ada kes-kes terpencil apabila bantuan yang dihulur tidak sampai kepada mangsa. Begitu juga dengan kekurangan bekalan makanan atau keperluan lain yang kemungkinan disebabkan jumlah mangsa di luar jangkaan. Kemungkinan juga mangsa yang tidak mendapat bantuan bekalan makanan adalah disebabkan berada di luar pusat pemindahan atau pihak berkenaan terlepas pandang. Dalam hal ini, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin di kawasan-kawasan berkenaan untuk mengenali dan mengenal pasti ‘anak buah’ di kawasan masing-masing supaya apabila berlaku bencana seperti banjir, mereka lebih mudah dikesan. Data yang ada akan memudahkan proses membantu mangsa.

Begitu juga selepas berakhirnya bencana. Menutup pusat pemindahan bukanlah bermakna berakhirnya tanggungjawab terhadap mangsa-mangsa berkenaan. Janganlah kita lupa untuk mengambil tindakan susulan terhadap mangsa banjir yang kembali ke rumah atau kediaman masing-masing. Tinjaulah apa keperluan mereka. Dalam keadaan yang lebih teruk, mereka perlu dibantu untuk membersihkan kawasan kediaman sama ada di dalam atau di luar. Banyak yang perlu dibersihkan. Begitu juga dengan timbunan sampah pukal berikutan pelbagai peralatan di dalam rumah musnah ditenggelami air.

Jenguklah mereka ini yang bersendirian untuk memulihkan semula sebuah kedi-aman yang telah musnah. Bantulah mereka memulihkan tanaman, mendapatkan semula ternakan termasuk ayam, itik yang dihanyutkan banjir. Tidak kurang juga peralatan sekolah yang musnah. Menjelang pembukaan penggal persekolahan akan datang, eloklah langkah awal diambil untuk memastikan keperluan dipenuhi.

Ketika inilah jika anda berkesempatan berkunjung ke kawasan tertentu dan melihat suasana yang memerlukan bantuan, tindakan yang patut diambil memaklumkan kepada sekurang-kurangnya pihak berkuasa. Jika perlu sebarkan keperluan penduduk berkenaan supaya mendapat perhatian mereka yang bersedia ‘turun padang’ secara sukarela untuk sama-sama membantu.

Kemudahan berinteraksi secara alam ma-ya melalui Facebook, YouTube, WhatsApp, Twitter, e-mel dan sebagainya perlu dimanfaatkan. Jangan menggunakan kemudahan itu untuk menyebarkan berita atau laporan yang mengelirukan. Ada ketikanya pihak-pihak berkenaan sengaja menyebarkan perkara yang tidak tepat sehingga menimbulkan rasa cemas dalam kalangan orang ramai yang membaca mesej-mesej itu. Contohnya baru-baru ini, penulis menerima laporan kononnya sebuah empangan pecah di Pahang, pesawat AirAsia hampir tenggelam di Lapangan Terbang Kuantan dan bantuan tidak sampai sehingga untuk mendapatkan roti pun susah.

Sebenarnya laporan-laporan berkenaan tidak tepat malahan ada unsur-unsur lucu. Contohnya mana ada penerbangan AirAsia ke Kuantan? Kenapa pihak-pihak ini sanggup mencipta jenaka berunsur fitnah dalam suasana semua pihak bertungkus lumus menyelesaikan masalah yang timbul akibat bencana ini? Seriuslah ketika menyebarkan ‘maklumat’. Hentikan sikap mahu mencari silap orang lain dalam suasana kita berhadapan dengan isu bencana alam sekitar ini. Masa susah tidak elok berjenaka.

Baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said turut menjadi mangsa apabila beliau digelar sebagai Robin Hood gara-gara menahan lori yang membawa roti untuk diagihkan kepada mangsa banjir. Beliau menjelaskan, Robin Hood bertindak merompak harta orang kaya untuk diberi kepada orang miskin. Sebaliknya tindakan yang dilakukannya adalah secara rundingan dan bersedia membuat bayaran.

Sebenarnya jika Ahmad tidak bertindak demikian, beliau juga akan dituduh tidak prihatin dengan mangsa banjir yang memerlukan sedikit makanan walaupun sebuku roti. Maknanya buat salah, tak buat pun salah. Beginilah sikap sesetengah orang kita yang suka mencari kesilapan, tidak pernah mahu melihat kebenaran. Satu lagi cerita ‘roti’ yang menarik perhatian ialah mengenai kisah sekumpulan orang membantu mangsa banjir. Tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Kononnya merekalah orang pertama yang sampai di rumah mangsa. Menurut cerita kumpulan ini, mangsa juga memberitahu sukarnya untuk mendapatkan roti di pusat pemindahan sementara. Lebih menarik mangsa ini dikatakan seorang anggota polis.

Khabarnya ada banyak lagi cerita menghentam pihak berkuasa yang kononnya diluahkan oleh anggota pasukan beruniform ini termasuk anggota bomba. Apakah tujuan penyebaran cerita seumpama ini? Jika benar sekali pun, apakah motif cerita ini disebarkan? Sekali baca, kita tahu niat sebenarnya. Kenapa tidak maklumkan sahaja kepada pihak berkuasa? Adalah mustahil pihak berkenaan akan ‘memejam mata’ dan ‘memekakkan telinga’ apabila mendapat maklumat berkaitan mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

Eloklah kita lebih berhati-hati ketika menghantar mesej supaya ia tidak bertukar menjadi fitnah.

Apa maknanya anda bertungkus lumus membantu mangsa banjir tetapi akhirnya kebaikan yang dilakukan dijadikan pula modal untuk menghentam, memburuk atau menyindir pihak lain. Maka akan hilang keberkatan usaha murni anda.

UMA161213010C001

Related posts

Leave a Comment