Terjemahkan ikrar setia pada pilihan raya kecil

SEJARAH berulang! Jika tahun 2000 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya kecil selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO, kini cabaran yang sama berulang. Pada tahun 2000, selepas saingan sembilan penjuru bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO, BN menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Kemang (10 Jun) diikuti Parlimen Pendang dan DUN Anak Bukit di Kedah (18 Julai). Sebelum pemilihanpada 11 Mei itu, BN juga berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil DUN Sanggang (1 April).

Pemilihan UMNO pada tahun 2000 juga sengit yang menyaksikan sembilan orang bertanding merebut tiga jawatan naib presiden. Mereka ialah Najib Tun Razak (Pahang), Muhyiddin Yassin, Abdul Ghani Othman dan Syed Hamid Albar dari Johor; Isa Samad dan Rais Yatim dari Negeri Sembilan; Abu Hassan Omar dan Muhammad Muhd. Taib dari Selangor dan Osu Sukam dari Sabah. Keputusannya, yang terpilih ialah Najib, Muhyiddin dan Muhammad. Ketika itu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dimenangi tanpa bertanding oleh Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi. Begitu juga dengan Hishammuddin Tun Hussein bagi jawatan Ketua Pemuda sementara Rafidah Aziz kembali memenangi kerusi Ketua Wanita dengan majoriti 12 undi mengalahkan penyandang Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

Selepas pemilihan itu tumpuan ke Teluk Kemang bagi pilihan raya kecil yang menyaksikan pertembungan calon BN dari MIC dan Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat). Akhirnya BN melalui S. Sothinathan menang walaupun ditentang hebat oleh PKR yang dibantu DAP dan Pas. Bagaimanapun dalam pilihan raya umum lalu, Sothinathan tewas kepada calon PKR. Kini selepas berakhirnya pemilihan bagi jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan ketua sayap UMNO – Wanita, Pemuda dan Puteri, UMNO berhadapan dengan tiga pilihan raya kecil sekaligus iaitu Parlimen Bukit Gantang serta DUN Bukit Selambau dan Batang Air.

Semalam berlangsung penamaan calon dan pembuangan undi akan berlangsung pada 7 April ini. Penamaan calon berlangsung selepas tidak sampai 24 jam ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia seluruhnya melihat satu peralihan kuasa dalam UMNO serta ikrar setia pemimpin yang dipilih dan tidak terpilih bagi memantapkan lagi perjuangan UMNO. Lebih mengharukan apabila mantan Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir muncul di perhimpunan bersejarah itu. Di atas pentas yang sama pada tahun 2003, Dr. Mahathir pernah menggemparkan para perwakilan dengan mengumumkan hasratnya untuk bersara. Kali terakhir beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO ialah pada 2005 dan tidak berbuat demikian selepas itu setelah mengkritik Abdullah. Beliau juga mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada 19 Mei 2008. Tetapi pada Sabtu lalu, Dr. Mahathir hadir sebagai pemerhati dan naik ke pentas untuk bersalam dan menjulang tangan penggantinya sebelum ini Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden baru, Najib Tun Razak. Malahan beliau juga menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO. Jelaslah petanda penyatuan negarawan dapat disaksikan dalam perhimpunan yang amat bersejarah kali ini. Pada masa yang sama juga banyak aksi peluk memeluk sebagai tanda kemesraan dan persahabatan yang tetap kekal sekalipun ada yang kecewa dan tewas dalam pertandingan. Semuanya ini bukanlah satu sandiwara politik tetapi langkah awal ke arah perubahan bagi menyahut kata dua Najib sama ada UMNO ‘berubah’ dan ‘rebah’. Ahli-ahli parti perlu berubah dan melupakan sengketa sesama mereka. Harus diingat UMNO pernah berjasa kepada orang Melayu yang kini berselerak sebagai ahli Pas, PKR, DAP atau tidak lagi menyertai mana-mana parti. Maka buanglah sikap marahkan nyamuk kelambu dibakar, marahkan ketua kampung satu kampung dibakar. Maka apa yang berlaku di Dewan Merdeka kelmarin perlu direnungi bersama oleh mereka yang sudah lupa daratan yang hidup dua alam. Begitulah penyatuan bak biduk lalu kiambang bertaut di pentas Dewan Merdeka itu. Inilah kekuatan baru bagi UMNO selepas dikejutkan pada pilihan raya umum lalu. Maka jika selepas pemilihan tahun 2000 BN mampu mempertahankan kerusi Teluk Kemang, apakah peluangnya kali ini di Parlimen Bukit Gantang serta DUN Bukit Selambau dan Batang Air? BN turun untuk merampas Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta mahu mempertahankan kerusi Batang Air.

Jika diselak kembali Pilihan Raya Umum 1999, BN kehilangan dua negeri – Terengganu dan Kelantan manakala banyak kerusi DUN dan Parlimen menjadi milik pembangkang. Tetapi pada Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan lima negeri terlepas ke tangan pembangkang dan BN ke- kurangan majoriti dua pertiga di Parlimen. Adakah penyatuan yang berlaku selepas pemilihan UMNO kelmarin mampu memberi nafas baru kepada BN khususnya UMNO dalam menghadapi pilihan raya kecil ini?

Walaupun keputusan tiga pilihan raya kecil ini tidak boleh dianggap petunjuk baik megenai sokongan rakyat tetapi ia pasti mengundang kesimpulan atau andaian para pemerhati politik mengenai kekuatan UMNO. Maka mahu atau tidak, UMNO perlu bekerja keras. Dan apa yang penting kesetiaan yang dilafazkan oleh semua calon yang bertanding sama ada sebelum atau selepas keputusan pertandingan diumumkan harus diterjemahkan. Jangan cakap tidak serupa bikin.

UMNO serta BN pastinya meng- harapkan kehadiran Ali Rustam, Muhammad Muhd Taib, Khaled Nordin, Rais Yatim, Syed Hamid Albar, Isa Samad, Rahim Tamby Chik. Begitu juga dengan kehadiran Rafidah Aziz, Mukhriz Mahathir, Khir Toyo dan ramai lagi. Bukan sekadar hadir pada hari penamaan calon tetapi kemudiannya membiarkan kepada Timbalan Presiden, Muhyiddin Yassin sendiri untuk silih berganti ke Bukit Gantang, Bukit Selambau dan juga Batang Air. Maka mereka yang ikrar setia hendaklah cakap serupa bikin.

Jangan pula seperti kata rangkap pantun Ismail Yaakob atau Man Pen, perwakilan dari Langkawi pada Perhimpunan Agung UMNO lalu: Salah satu rangkap pantunnya berbunyi: Ramai ketua bahagian rasa amat kecewa; Kerana tak dicalon dalam pilihan raya; Kepada parti mreka tidak menderhaka; Cuma hari mengundi depa tak buat apa. Memang sukar untuk menerima kekalahan tetapi terimalah keputusan dengan berlapang dada seperti ucapan yang dilafazkan oleh Ali Rustam yang pastinya lebih kecewa kerana pada saat akhir dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden. ‘‘Yang penting bukan Ali, tapi sokongan kepada UMNO dan pim- pinan UMNO itu sendiri. Saya berjanji sebagai aktivis UMNO, saya akan serahkan fikiran, jiwa dan raga kepada UMNO dalam memartabatkan UMNO demi agama, bangsa dan negara,” kata Ali.

Bagi rakan-rakan senasib dengan- nya, Ali menyeru mereka untuk terus memberi tumpuan dan bersama-sama mengukuhkan parti. Kata Ali: Biduk lalu kiambang bertaut. Jangan kecewa bak kata pepatah yang menang tak menang semua, yang kalah tak kalah semua. Dunia belum kiamat, esok belum pasti’’.

Lebih menarik apabila Ali meng- akhiri ucapannya dengan serangkap pantun yang penuh makna: Hang Tuan pahlawan terbilang; Bunuh Jebat kerana raja; UMNO tidak akan hilang; Selagi ahlinya tetap setia. Dan uca- pannya itu disambut tepukan gemuruh para perwakilan yang turut berdiri memberi tanda hormat. Di Dewan Merdeka itu hanya dua tiga pemimpin sahaja yang mampu mendapat standing ovation kecualilah apabila mereka diminta berbuat demikian seperti yang dilakukan ketika Zahid Hamidi berucap kelmarin.

Justeru pilihan raya kecil dua bukit satu batang ini menjadi medan yang baik untuk ahli-ahli UMNO yang menang atau kalah menterjemahkan ikrar setia yang sudah dilafazkan. Pada masa yang sama inilah peluang mereka membuktikan UMNO tidak main-main dalam proses peralihan dan perubahan yang sedang berlaku sekarang. UMNO pastinya tidak mahu ‘rebah’ setelah mula bangkit beberapa hari lalu.

UM300309-min

 

Related posts

Leave a Comment